Mubasyirin
Bil-Jannah" (Sepuluh Sahabat Yang Dijamin Masuk Syurga)
SAIYIDINA
UMAR BIN AL-KHATTAB R.A.
Khalifah Umar bin Al-Khattab ra merupakan khalifah Islam
yang kedua selepas Khalifah Abu Bakar ra. Perlantikannya merupakan wasiat
daripada Khalifah Abu Bakar.
Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal
b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di
lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah
Quraish yang dipandang mulia, megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya
pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke
Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai
waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan
seorang yang berani, tegas dalam kira bicara, berterus terang menyatakan
fikiran dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga
terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.
Saidina Umar memeluk Islam pada
tahun keenam selepas kerasulan Nabi, sewaktu berumur 33 tahun, kerana tertarik
dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh adiknya Fatimah. Beliau kemudiannya
memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum ini beliau
merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam.
Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan
kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar
memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa
curiga lagi dalam mengerjakan ibadat.
Keislaman Umar merupakan bukti kecintaan Allah dan Umur
dimuliakan, di manaAllah mengabulkan doa RasulNya,”Ya Allah, kuatkanlah islam
dengan salah seorang dari kedua orang yang paling Kamu Cintai, dengan Abu Jalah
atau Umar bin Al-Khattab.” (HR. At-Tirmizi)
Beliau digelar “al-Faruq” yang
bermaksud “orang yang membezakan hak dengan yang bathil”. Gelaran ini diberikan
oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang
di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam.
Beliau sendiri yang menjaganya daripada gangguan orang-orang Quraish. Nabi
Muhammad SAW juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.
Ketika berhijrah ke Madinah, ramai
orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar keluar
secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa
sahaja yang cuba menghalangnya.
Ketika Khalifah Abu Bakar sedang
sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil sahabat dan meninjau
fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran
khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan
itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan
orang-orang ramai. Umar dilantik memegang jawatan sebagai khalifah kedua
menggantikan Abu Bakar pada hari Selasa, 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah,
bersamaan dengan 23 Ogos 634 Masihi.
Seorang yang bersifat berani dan
tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan
adil. Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah
SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk
menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil
dan amanah. Pernah penyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika beliau memegnag
jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya, malah beliau sendiri
yang mengangkat gandum dan minyak untuk diberikan kepada salah seorang daripada
golongan yang memerlukan.
Menerima pendapat sahabatnya Abu
Bakar As-Shiddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka
dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah
hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat. Menerima pendapat seorang
perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan maskahwin
mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau
bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat
biasa.
Sebelum memeluk Islam, beliau
sangat kuat dan berani menentang Rasulullah SAW sikap beliau sangat ditakuti
oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan
dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk
Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang
ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah SAW supaya ajaran Islam
disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir
Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah. Oleh
kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran
“al-Faruq”.
Seorang pemerintah yang adil dan
bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya.
Beliau banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan rakyatnya. Beliau sendiri
keluar menyamar sebagai rakyat biasa untuk meninjau keadaan rakyatnya. Pada
suatu malam, beliau terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis
kelaparan. Beliau terus kembali mengambil gandum, memasakkan dan menyuapkan
sendiri ke mulut kanak-kanak tersebut. Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman
ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang
Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.
Khalifah Umar telah membentuk satu
Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya
terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi
ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul
Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang
melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan
bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab
menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura,
Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam
semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya
kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan
dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu
memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
Perkembangan Islam yang semakin
luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada
pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini,
Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada
beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan
beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik
hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk
membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih
pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya
Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik,
mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima
rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi
menjamin keadilan dan kesucian Islam.
Perluasan kuasa Islam menuntut
kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di
Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik
kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk
membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan
tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya
akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak
dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini
berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan
kepada tentera yang menyertai peperangan.
Banyak pembaharuan yang dilakukan
oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut
kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan
mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan
tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada
golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang
dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum
pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap
dan perbendaharan negara bertambah.
Beliau juga turut memajukan sistem
pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan,
yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi
hasil pertanian.
Khalifah Umar telah mengadakan
cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan
kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah
Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah
supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak
membebankan.
Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti
apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam
akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas,
malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar
ganti rugi oleh kerajaan Islam.
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak
kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas,
mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang
yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba
perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti
hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh
dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan
dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak
menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh
Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang
pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.
Pelbagai langkah telah dilakukan
oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan
guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke
serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan.
Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di
seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu
didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti
surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan
diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal
kandungan al-Quran.
Khalifah Umar telah mewujudkan
terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti
Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah
sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina
Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar
Basrah.
Tanah juga telah dikaji selidik
bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk
membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak
dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di
dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi
menambahkan pendapatan negara.
Dia pernah juga mengatakan, “dosa lebih ditakuti seorang
tentera daripada musuh.” Pada ketika lain, dia mengatakan, “hisablah dirimu
sebelum kamu semua dihisab dan nilailah diri kamu sebelum kamu semua
dinilai.sebabnya, esok hisab akan lebih ringan bagi kamu semua menghadapi hari
yang paling agung, di mana pada hari itu kamu dihadapkan dengan Tuhanmu, tiada
satupun dari keadaan yang tersembunyi bagi Allah swt. Pada cincin yang dipakainya
tertulis “Cukuplah mati sebagai nasihat bagimu, wahai Umar.”
Khalifah Umar Al-Khattab memiliki 12 orang anak,6 lelaki
dan 6 perempuan. Anak lelakinya bernama, Abdullah, Abdul Rahman, Zaid,
Ubaidillah, Ashim dan ‘Iyadh. Manakala anak perempuannya bernama Hafsah (Isteri
Rasulullah saw), Ruqaiyah, Fatimah, Safiyah, Zainab dan Ummu Walid.
Khalifah Umar adalah merupakan
Khalifah yang banyak melakukan pembaharuan kepada negara Islam. Selepas
memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Beliau pernah
bermimpi seolah-olah ayam jantan mematuknya satu atau dua kali. Patukan yang
pertama adalah petanda datangnya ajal.
beliau pun wafat pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah
tahun 23 Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun. Beliau ditikam oleh Abu Lu’luah
Fairuz Al-Farisi Al-Majusi, bangsa Parsi yang beragama Majusi. Beliau
dimakamkan berhampiran dengan makam Rasulullah dan Abu Bakar di Madinah.
Pentadbiran khalifah selepasnya pula diberikan kepada Saidina Uthman b. Affan
ra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan