1. Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang hamba mengatakan satu
perkara yang diredhai dan dia merasakan perkara itu tidak penting tapi
kerananya Allah SWT akan meninggikan darjatnya, dan seorang hamba mengatakan
satu perkara yang dimurkai Allah SWT dan dia tidak menghiraukannya, tapi kerana
perkara itu dia akan tersungkur di dalam neraka Jahanam. (HR Bukhari)
2. Dari ‘Ubadah bin
Somit r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Berjihadlah di jalan
Allah SWT kerana dia adalah merupakan satu pintu dari pintu-pintu syurga,
dengannya Allah SWT menjauhkan rasa kerisauan dan kesedihan. Di dalam satu
riwayat lain ada penambahan, pergilah berjihad, jauh atau dekat dan dirikanlah
batasan-batasan pada orang-orang yang hampir dan pada orang-orang yang jauh.
Dan berkenaan Allah SWT jangan terkesan dari cercaan sesiapa pun. (HR Mustadrak
Hakim)
3. Dari Sahl bin Sa’ad
r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Agama ini adalah satu
khazanah kenikmatan. Khazanah-khazanah nikmat ini mempunyai anak-anak kunci.
Berbahagialah hamba itu yang Allah telah menjadikannya kunci kebaikan (dan)
penutup kejahatan. Yakni Allah telah menjadikannya asbab hidayat. Dan
kebinasaanlah buat hamba yang Allah Ta’ala telah menjadikannya kunci kejahatan
(dan) penutup kebaikan. Yakni menjadi punca kesesatan. (HR Ibn Majah)
4. Hadrat Durrah binti
Abi Lahab r.a berkata bahawasanya Rasulullah SAW berada di atas mimbar lalu
berdiri seorang lelaki dan bertanya: Ya Rasulullah! Siapakah orang yang terbaik
dikalangan manusia? Baginda SAW bersabda: yang terbaik dikalangan manusia ialah
orang yang paling banyak membaca Al-Quran, yang paling bertakwa, yang paling
banyak menyuruh akan kebaikan dan melarang dari kemungkaran dan yang banyak
menghubungkan silaturrahim. (Musnad Ahmad, Tabrani)
5. Dari Abu Said r.a dan
Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengumpat
adalah lebih buruk dari zina. Para sahabat r.hum bertanya; Wahai Rasulullah,
bagaimana mengumpat itu lebih buruk dari zina? Baginda SAW menjawab: Seorang
yang berzina boleh memohon ampun, maka Allah SWT mengampunkannya, tetapi orang
yang diumpat, apabila dia tidak memaafkan orang yang mengumpat, maka pengumpat
tetap berdosa. (HR Baihaqi)
6. Dari Abdullah bin
Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada
orang lain, maka kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi
kesempitan dalam rezeki kemudian dia meminta kepada Allah maka Allah
menyediakan kepadanya rezeki dengan segera, samaada dengan cepat atau
dilambatkan sedikit. (HR Tirmizi)
7. Dari Uqbah ibn Amir
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan kemudian melakukan kebaikan
ialah seperti seorang yang memakai baju besi yang sempit lalu tercekik.
Kemudian dia melakukan kebaikan yang menyebabkan sambungan baju itu longgar,
kebaikan yang dilakukan seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan
akhirnya akan terlucut ke tanah. (HR Ahmad)
8. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Api dunia kamu adalah
sebahagian daripada satu pertujuh puluh daripada api neraka. Seorang bertanya:
Ya Rasulullah SAW bukankah api dunia sudah cukup panas. Rasulullah SAW
menjawab: (Api dunia kalau dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh
sembilan kali lebih panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan
panasnya api dunia. (HR Bukhari)
9. Dari Anas r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tempat meletak busar panah seorang
dari kamu dan tempat pemijak kaki dari syurga adalah lebih baik daripada dunia
dan seisinya dan jika salah seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga
muncul ke bumi nescaya akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan
akan dipenuhi keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih
bernilai daripada dunia dan seisinya. (HR Bukhari)
10. Dari Ibn Abbas r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT
telah menciptakan Israfil, semenjak hari penciptaannya terus berdiri dengan
lurus di atas kedua belah kakinya tidak pernah mengangkat wajahnya. Di antara
dia dan TuhanNya yang Maha Tinggi terdapat tujuh puluh hijab (dinding) dari
Nur. Jika ia mendekati kepada hijab ini nescaya akan terbakar. (HR Masahibus
Sunnah)
11. Dari Abu Zar r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya telah Berjaya
seseorang itu yang beriman dengan ikhlas, menjadikan hatinya suci (dari syirik
dan kekufuran) ucapannya jujur dan benar, jiwanya tenang (orang yang banyak
berzikir dan melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat ketenangan), baik
budi pekertinya, menjadikan telinganya mendengar (nasihat) dan matanya melihat
kepada kebenaran. (HR Musnad Ahmad)
12. Dari Anas r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat, barangsiapa mempunyai
sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang
mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak
mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT.
Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia
benci dicampakkan ke dalam api. (HR Bukhari)
13. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT akan turun kelangit bumi
pada dua pertiga daripada malam dan bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa
kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang
meminta sesuatu akan Ku beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon
pengampunan nescaya akan Ku ampuni baginya. (HR Bukhari)
14. Dari Abdullah bin
Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT
mengampuni dosa-dosa seorang muazzin sejauh mana suaranya itu kedengaran. Dan
setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa yang mendengar suara azannya memohon
keampunan baginya, dan di dalam satu riwayat yang lain setiap yang bernyawa atau
tidak bernyawa menjawab seruan azan yang didengarinya. (HR Ahmad)
15. Dari Anas bin Malik
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Pada malam Isra’ aku telah
lalu berhampiran satu golongan yang bibir-bibir mereka dipotong dengan sebilah
gunting dari api neraka. Aku telah bertanya kepada Jibrail a.s siapakah mereka
ini? Jibrail a.s menjawab: Mereka adalah juru nasihat yang selalu menyuruh
orang lain berbuat baik dan melupakan diri sendiri, yakni dia sendiri tidak
beramal. Padahal mereka membaca kitab Allah SWT. Tidakkah mereka faham. (HR
Musnad Ahmad)
16. Dari Abu Sa’id
al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah ditanya: Siapakah di
antara orang beriman yang paling sempurna imannya? Baginda SAW telah bersabda:
Di antara orang beriman yang paling sempurna imannya ialah dia yang berjihad di
jalan Allah SWT dengan diri dan hartanya. Kedua dia yang tinggal di satu lembah
menyembah Allah SWT dan dia menyelamatkan orang ramai dari kejahatannya. (HR
Abu Daud)
17. Dari Abdullah Ibnu
Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini
mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari
pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang
mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan
sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat
menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR
Abu Daud)
18. Dari Abdullah bin
Umar r.a bahawa Rasulullah SAW telah menukilkan satu firman Allah SWT di dalam
sebuah hadis qudsi: Mana-mana hambaku yang semata-mata mendapat redhaKu mereka
keluar sebagai mujahid, maka Aku memberi jaminan bahawa Aku akan memulangkannya
ke rumah dengan pahala dan harta rampasan, dan jika Aku memanggilnya kembali,
maka Aku akan mengampunkannya, merahmatinya dan akan memasukkanya ke dalam
syurga. (HR Ahmad)
19. Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan satu jemaah untuk keluar ke
jalan Allah SWT, mereka telah bertanya: ya Rasulullah! Malam ini kami pergi
atau pun tinggal di sini dan pergi esok pagi? Baginda SAW telah bersabda:
Adakah kamu tidak ingin untuk bermalam di salah satu kebun dari kebun-kebun
syuirga? Yakni bermalam di jalan Allah SWT adalah seperti bermalam di
kebun-kebun syurga. (Sunan Kubra)
20. Dari Jabir r.a
berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku dan kamu diumpamakan sebagai
seorang yang telah menyalakan api, lalu rama-rama dan kelkatu jatuh ke atasnya
dan dia menjauhkannya daripada api itu. Aku memegang pinggang-pinggang kamu dan
menyelamatkan kamu dari api neraka, akan tetapi kamu terlepas dari tanganku.
Yakni kamu terus berjatuhan ke dalam api neraka. (HR Muslim)
21. Dari Muaz bin Jabbal
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Mana-man hamba yang membuat
amalan kebajikan untuk kemasyhuran dan untuk menunjuk-nunjuk, maka Allah Ta’ala
akan memasyhurkan perkara ini di hadapan semua makhluk di Hari Kiamat nanti,
(bahawa orang ini mengerjakan amalan kebajikan untuk menunjuk yang kerananya
dia mendapat kehinaan). (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
22. Dari Abu Barzah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku khuatirkan terhadap kamu
bahawa kamu terjerumus di dalam kehendak nafsu yang menyesatkan berkaitan
dengan perut dan kemaluan kamu (seperti makan makanan haram, berzina dan
lain-lain) dan dari terjerumus di dalam keinginan diri yang menyingkirkan kamu
daripada jalan kebenaran) dan membawa kamu kepada kesesatan. (HR Musnad Ahmad,
Bazzar, Tabrani, Majma uz Zawaid)
23. Dari Muaz r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Di akhir zaman nanti akan
wujud manusia yang pada luarannya adalah sahabat, akan tetapi pada dalamannya
adalah musuh. Baginda telah ditanya orang. Ya Rasulullah! Mengapakah ini
berlaku? Rasulullah SAW bersabda: Persahabatan secara luaran adalah kerana ada
keperluan antara satu sama lain. Dan kerana ada permusuhan secara dalamanlah
wujud rasa khuatir satu kepada yang lain. (HR Musnad Ahmad)
24. Dari Jabir r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Akan dipersembahkan amal-amal
manusia pada hari Isnin dan hari Khamis. Barangsiapa yang memohon pengampunan
maka akan diampuniNya pada hari itu, dan barangsiapa bertaubat akan diterima
taubatnya (tetapi) orang yang ada sifat membenci atau berdendam akan
ditinggalkan sehinggalah dia bertaubat daripadanya. (HR Tabrani, Targhib)
25. Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa bersumpah palsu
dengan sumpah palsu dan mengambil hak seorang muslim yang lain Allah akan
mewajibkan baginya memasuki neraka Jahannam dan haram ke atasnya syurga.
Seorang lelaki berkata: Ya Rasulullah SAW walaupun di atas satu benda yang
remeh? Nabi SAW bersabda: Ya walaupun sebesar satu ranting dari pohon arak. (HR
Muslim)
26. Dari ‘Iyaz bin ‘Imar
r.a berkata, wahai Nabi Allah, seorang lelaki daripada kaumku telah mencaci dan
memburuk-burukkanku sedangkan dia ialah seorang yang lebih rendah kedudukannya
daripadaku. Bolehkah daku membalas balik akan caciannya itu? Nabi SAW bersabda:
Apabila dua orang mencaci maki antara satu sama lain, adalah seumpama dua
syaitan yang mana kedua-duanya mencaci maki dan berkata bohong antara satu sama
lain. (HR Ibnu Hibban)
27. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah
dan hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman
kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahmi yakni
berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari
akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau pun diam. (HR Bukhari)
28. Dari Anas r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kerana (mendakwahkan) agama,
aku telah ditakut-takutkan yang mana tidak ada seorang pun yang
ditakut-takutkan seperti itu, dan aku telah disakiti hingga tiada siapa yang
disakiti seperti ini. Telah berlalu tiga puluh malam dan tiga puluh siang
berturut-turut dalam keadaan tidak ada makanan sedikit pun yang boleh dimakan
oleh benda bernyawa kecuali kadar yang boleh disembunyikan oleh ketiak Bilal.
Yakni kadar yang terlalu sedikit. (HR Tirmizi)
29. Dari Zaid bin Khalid
Juhani r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang
menyiapkan kelengkapan orang yang menunaikan haji atau orang yang keluar di
jalan Allah SWT atau pun mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas
pemergian mereka, atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa,
maka dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar di jalan Allah
yang pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan
sedikit pun pahala mereka. (HR Baihaqi)
30. Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Semua umatku
layak diberi keampunan kecuali mereka yang melakukan dosa secara
terang-terangan. Ini termasuklah orang yang melakukan dosa pada suatu malam dan
kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah telah menutup dosanya (dan tidak
menampakkannya kepada orang ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku
telah melakukan (dosa) itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam
keadaan Tuhannya menutupinya tetapi dipagi hari menampakkan apa yang Allah SWT
tutup (pada malam itu). (HR Bukhari)
31. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap hari Isnin dan hari Khamis,
amal-amal manusia akan dipersembahkan dihadapan Allah SWT dan Allah SWT akan
mengampuni mereka pada hari itu bagi orang yang tidak mensyirikkan sesuatu
dengan Allah, kecuali seorang yang memusuhi akan saudaranya (orang ini akan
kecewa dari pengampunan Allah). (Malaikat) akan mengatakan kepadanya: Tinggalkanlah
kedua orang ini sehingga kedua-duanya bermaaf-maafan, tinggalkanlah kedua orang
ini sehingga kedua-duanya saling bermaaf-maafan. (HR Muslim)
32. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?
Para sahabat r.hum berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda SAW
bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika
dia tiada yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu
sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda
SAW menjawab: Jika apa yang dikatakan benar, maka itu adalah mengumpat (bahkan
lebih buruk daripada memfitnah). (HR Muslim)
33. Dari Abdullah bin Amr
bin Ash r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Akan datang
dari umatku pada hari Kiamat nanti dimana cahaya mereka seperti cahaya
matahari. Kami bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW
menjawab: Mereka itu ialah muhajirin yang miskin. Yang berada teguh dalam
kerja-kerja yang sukar dibarisan hadapan. Apabila mereka mati keinginan mereka
turut terpendam didalam dadanya. Mereka dihimpunkan dari segenap penjuru bumi
ini. (HR Musnad Ahmad)
34. Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada yang dicintai
oleh Allah lebih dari dua titisan dan dua kesan. Titisan ialah satu titisan air
mata kerana takut kepada Allah. Kedua ialah titisan darah yang mengalir di
jalan Allah. Dan dua kesan ialah kesan yang terjadi di jalan Allah (seperti
parut-parut luka atau kesan cedera yang berlaku di jalan Allah) dan kedua ialah
kesan dari melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardhu (seperti
tanda-tanda sujud atau kesan perjalanan haji dan lain-lain). (HR Tirmizi)
35. Dari Anas bin Malik
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah orang yang
berkumpul untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dengan tiada keinginan lain
daripada mencari keredhaanNya, kecuali bahawa (pada akhir majlis itu) seorang
malaikat mengumumkan dari langit (dengan perintah Allah): Bangunlah orang-orang
yang patut mendapat keampunan, kerana sesungguhnya dosa-dosamu telah diganti
dengan kebaikan. (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Abu Ya’la, Bazzar dan Majma uz
Zawaid)
36. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin selepas kematiannya
akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang
dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak
yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang
dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau
anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada
hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR
Ibnu Majah)
37. Dari Muaz al-Juhaniy
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa membaca Al-Quran
dan beramal dengannya, kedua ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari
Kiamat yang mana cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari. Kemudian
kalaulah matahari itu berada di dalam rumah kamu, (cahayanya tentu lebih
terang, namun cahaya mahkota itu lebih terang lagi. Kalau pahala ini hanya
untuk kedua ibu bapanya) Maka kamu dapat bayangkan apakah yang akan diterima
oleh orang yang membacanya sendiri. (HR Abu Daud)
38. Dari Buraidah Aslamiy
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa membaca
Al-Quran, mempelajarinya dan mengamalkannya akan dipakaikan pada hari Kiamat
dengan sebuah mahkota yang diperbuat daripada Nur. Cahayanya seperti cahaya matahari.
Kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan dua helai pakaian yang tidak ada
tandingannya di dunia ini. Dia akan bertanya kenapakah dia dipakaikan dengan
pakaian yang seumpama ini? Akan dijawab: Ini kerana kamu mengajar anak kamu
membaca Al-Quran. (HR Hakim)
39. Dari Anas r.a
menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan sampah-sampah di masjid
telah meninggal dunia. Baginda SAW telah diberitahu tentang kematiannya di
waktu pengkebumiannya. Baginda r.a datang lalu bersabda: Apabila meninggal
dunia salah seorang daripada kamu beritahulah aku. Lantas Nabi SAW
menyembahyangi jenazahnya dan bersabda: Sesungguhnya aku melihat dia berada di
dalam syurga kerana dia selalu membersihkan kotoran-kotoran di masjid. (HR
Tabrani dan Majma uz Zawaid)
40. Dari Uqbah bin Amr
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang
berwudhuk dengan sempurna kemudian menuju ke masjid dan duduk menunggu untuk
bersembahyang maka malaikat yang mencatit kebaikan akan datang mencatit dimana
setiap langkah dia berjalan diganjari dengan sepuluh kebaikan. Orang yang duduk
menunggu sembahyang adalah seumpama orang yang beribadat. Semenjak dia keluar
daripada rumahnya sehinggalah dia kembali adalah dikira sebagai orang yang
sibuk bersembahyang. (Musnad Ahmad)
41. Dari Abdullah ibn
Umar r.a meriwayatkan; Satu hari Nabi SAW bersabda tentang sembahyang bahawa:
Barangsiapa menjaga sembahyang fardhunya tepat pada waktunya, pada hari Kiamat
nanti akan menjadi Nur kepada orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi
pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan
penyelamat bagi orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat
mereka akan digolongkan bersama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (HR Ahmad
dan Tabrani)
42. Dari Huzaifah r.anhu
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Islam itu terdiri dari
lapan bahagian (yang penting). Islam (iman) satu bahgian, mendirikan solah satu
bahagian, membayar zakat satu bahagian, menunaikan Haji satu bahagian, berpuasa
satu bahagian, menyeru kepada kebaikan satu bahagian, mencegah daripada
kemungkaran satu bahagian dan berjihad di jalan Allah Taa’la satu bahagian,
sesungguhnya gagallah bagi mereka yang tidak ada satu bahagian pun daripadanya.
(HR Al-Bazzar)
43. Dari Abi Musa
Al-Asya’ri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Satu ketika
berdiri di hadapan kami memberi lima rangkai kalimat. Maka sabdanya:
Sesungguhnya Allah SWT tidak tidur. Dan tidak selayaknya bagi Allah SWT itu
tidur. Mengurangi dan menambahkan rezeki. Mengangkat amalan malam sebelum
amalan siang. Dan mengangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hijabnya
daripada nur, jika ia dibuka nescaya sejauh mana makhluk yang dapat dilihat
akan terbakar kerananya. (HR Muslim)
44. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Hendaklah kamu meminta
perlindungan dari Jubbul-Hazan. Sahabah r.hum telah bertanya: Apakah
Jubbul-Hazan itu? Nabi SAW telah bersabda: Ia adalah satu lembah di neraka yang
neraka sendiri meminta perlindungan darinya sebanyak seratus kali setiap hari.
Rasulullah SAW ditanya: Siapakah yang akan memasukinya? Nabi SAW telah
bersabda: Pembaca-pembaca Al-Quran yang melakukan amalan mereka itu untuk
menunjuk-nunjuk. (HR Tirmizi)
45. Hazrat Abu Said bin
Abu Fadhalah Al Ansari r.anhu yang merupakan salah seorang sahabat berkata,
daku dengar Rasulullah SAW bersabda: Tatkala Allah Ta’ala menghimpunkan manusia
pada hari Kiamat iaitu pada hari yang tiada keraguan mengenainya, berserulah
satu penyeru: Barangsiapa yang menyengutukan di dalam amalannya sesuatu dengan
Allah SWT, maka mintalah pahalanya daripada selain Allah SWT. Ini kerana Allah
SWT Maha Kaya yang tidak memerlukan perkongsian sesiapa pun. (HR Tirmizi)
46. Dari Abdullah bin
Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ditanya, siapakah yang paling
mulia di antara manusia? Baginda SAW menjawab: Setiap orang yang hatinya
Makhmum dan lidahnya jujur. Sahabat r,hum bertanya; Kami tahu seorang yang
lidahnya jujur, tetapi apa yang dimaksudkan dengan hati Makhmum? Baginda SAW menjawab:
Makhmum ialah oyang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut
kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak
mempunyai sedikit pun perasaan dengki atau irihati padanya. (HR Ibnu Majah)
47. Dari Amr bin ‘Auf r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Demi Allah! Bukanlah
kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan
kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah
dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba
untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk
mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan
mereka. (HR Bukhari)
48. Dari Zaid bin Thabit
r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika matlamat
seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya.
Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan)
kemiskinan terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia
hanya sekadar apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya
adalah akhirat, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan
menjadikan hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya.
(HR Ibnu Majah)
49. Diriwayatkan daripada
Hadhrat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang
menyeru kearah hidayah dan pekerjaan yang baik, dia akan mendapat pahala sama
banyak dengan pahala orang-orang yang mengikutnya. Dan tidak mengurangi sedikit
pun pahala orang-orang yang mengikutinya. Begitu juga, sesiapa yang menyeru
kejalan kesesatan, dia akan mendapat dosa sepertimana dosa orang-orang yang
mengikuti kesesatan itu. Dan kerananya tidaklah berkurangan dosa orang-orang
yang mengikutinya itu. (HR Muslim)
50. Dari Miqdad r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Kiamat, matahari
akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan perjalanan dari
bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia akan berpeluh mengikut kadar amalannya.
Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan
sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut,
sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang sampai ke
mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke arah mulutnya (iaitu hingga
sampai ke sini). (HR Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan