Khamis, 14 Februari 2013

7 rombongan iblis di saat sakaratul maut


Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, mulai dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hingga ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.
Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah S.A.W. menerangkan:
"Ya Allah aku berlindung kepada Engkau dari tipuan syaitan diwaktu sakaratul maut. "

Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan berbagai rupa aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barang-barang Iblis itu, pada waktu itu nyawanya putus dari tubuh.
Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular yang berbisa. Yang apabila orang yang sedang sakaratul maut itu memandang ke binatang itu, maka dia pun menjerit dan melompat sekuat hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang kesayangannya.
Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu.
Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan penuh kasih
"Wahai anakku inilah saja makanan dan bekal yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga. "

Maka dia pun sudi mengikut tawaran itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulama'-ulama' yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia:"Wahai muridku, lama sudah kami menunggu akan dikau, ternyata kamu sedang sakit di sini, kerana itu kami bawakan kepada kamu doktsr dan ubat untukmu. " Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang lagi.

Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama' dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?"
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: "Aku tidak tahu. "

Berkata ulama' Iblis: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulama' yang tinggi dan hebat, baru saja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami. "
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis untuk tujuan menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulama' palsu:
"Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulama' palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. "
Ketika tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Iblis: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah. "
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai enam sisi, iaitu benda besar ini ada kiri dan kanannya, mempunyai atas dan bawah, mempunyai depan dan belakang.

Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini. "

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab dari menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad S.A.W bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 barisan). Satu barisan/golongan yang benar iaitu ahli sunnah waljamaah, 72 yang lain masuk ke neraka karena sesat.

Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut.
Oleh kerana itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Disebutkan dalam sebuah hadith yang artinya: "Ajarkan oleh kamu (orangyang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."

Rabu, 13 Februari 2013

Mubasyirin Bil-Jannah - Saiyidina Umar Bin Al-Khattab R.A




Mubasyirin Bil-Jannah" (Sepuluh Sahabat Yang Dijamin Masuk Syurga)
SAIYIDINA UMAR BIN AL-KHATTAB R.A.

Khalifah Umar bin Al-Khattab ra merupakan khalifah Islam yang kedua selepas Khalifah Abu Bakar ra. Perlantikannya merupakan wasiat daripada Khalifah Abu Bakar.

Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam kira bicara, berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan Nabi, sewaktu berumur 33 tahun, kerana tertarik dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh adiknya Fatimah. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum ini beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat.

Keislaman Umar merupakan bukti kecintaan Allah dan Umur dimuliakan, di manaAllah mengabulkan doa RasulNya,”Ya Allah, kuatkanlah islam dengan salah seorang dari kedua orang yang paling Kamu Cintai, dengan Abu Jalah atau Umar bin Al-Khattab.” (HR. At-Tirmizi)
Beliau digelar “al-Faruq” yang bermaksud “orang yang membezakan hak dengan yang bathil”. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada gangguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad SAW juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.

Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi, tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya.

Ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang-orang ramai. Umar dilantik memegang jawatan sebagai khalifah kedua menggantikan Abu Bakar pada hari Selasa, 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah, bersamaan dengan 23 Ogos 634 Masihi.

Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan adil. Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah. Pernah penyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika beliau memegnag jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya, malah beliau sendiri yang mengangkat gandum dan minyak untuk diberikan kepada salah seorang daripada golongan yang memerlukan.

Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Shiddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat. Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan maskahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

Sebelum memeluk Islam, beliau sangat kuat dan berani menentang Rasulullah SAW sikap beliau sangat ditakuti oleh orang-orang yang memeluk agama Islam. Beliau tidak gentar mengisyitiharkan dirinya telah memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai. Setelah memeluk Islam, beliau berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau memberi cadangan kepada Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka kepada orang ramai. Beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah. Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran “al-Faruq”.

Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau banyak melakukan pembaharuan untuk kemajuan rakyatnya. Beliau sendiri keluar menyamar sebagai rakyat biasa untuk meninjau keadaan rakyatnya. Pada suatu malam, beliau terjumpa seorang kanak-kanak yang sedang menangis kelaparan. Beliau terus kembali mengambil gandum, memasakkan dan menyuapkan sendiri ke mulut kanak-kanak tersebut. Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.

Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.

Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah.

Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.

Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.

Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah.

Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.

Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.

Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.

Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.

Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar Basrah.

Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.

Dia pernah juga mengatakan, “dosa lebih ditakuti seorang tentera daripada musuh.” Pada ketika lain, dia mengatakan, “hisablah dirimu sebelum kamu semua dihisab dan nilailah diri kamu sebelum kamu semua dinilai.sebabnya, esok hisab akan lebih ringan bagi kamu semua menghadapi hari yang paling agung, di mana pada hari itu kamu dihadapkan dengan Tuhanmu, tiada satupun dari keadaan yang tersembunyi bagi Allah swt. Pada cincin yang dipakainya tertulis “Cukuplah mati sebagai nasihat bagimu, wahai Umar.”

Khalifah Umar Al-Khattab memiliki 12 orang anak,6 lelaki dan 6 perempuan. Anak lelakinya bernama, Abdullah, Abdul Rahman, Zaid, Ubaidillah, Ashim dan ‘Iyadh. Manakala anak perempuannya bernama Hafsah (Isteri Rasulullah saw), Ruqaiyah, Fatimah, Safiyah, Zainab dan Ummu Walid.

Khalifah Umar adalah merupakan Khalifah yang banyak melakukan pembaharuan kepada negara Islam. Selepas memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari. Beliau pernah bermimpi seolah-olah ayam jantan mematuknya satu atau dua kali. Patukan yang pertama adalah petanda datangnya ajal.

beliau pun wafat pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun. Beliau ditikam oleh Abu Lu’luah Fairuz Al-Farisi Al-Majusi, bangsa Parsi yang beragama Majusi. Beliau dimakamkan berhampiran dengan makam Rasulullah dan Abu Bakar di Madinah. Pentadbiran khalifah selepasnya pula diberikan kepada Saidina Uthman b. Affan ra.

Cerpen: Tuhfat Cinta Yusuf


TUHFAT CINTA YUSUF

Suatu persatu magra cinta tercipta. Berasaskan dan bermaharajalela tanpa kenal erti dosa dan pahala. Pabila syaitan mula bernoda, saat itulah alif lam lam ha diduakan. Bertuhankan hawa nafsu dan emosi, manusia warak berubah rupa. Cinta yang diangkat sebagai kalimat agong memakan diri. Kepuasan cinta yang dinikmati hanya 3 saat, membawa padah seumur hidup. Tangisan penyesalan, hanya sandiwara manusia durjana. Menyesal hanya seketika, kemungkaran untuk selamanya. Hanya taubat nasuha penyelesai segalanya.

“Manusia itu munafik dan hanya berpura-pura” benak Yusuf apabila mengingatkan manusia yang seringkali berdusta, manusia apabila berjanji, seringkali memungkirinya. Yusuf benci dengan namanya manusia yang hidup dalam lakonan semata-mata. Pentas dunia ini terlalu luas, dalam keluasannya hanya segelintir yang mampu bersujud taat kepadaNya. Kenapa Yusuf berkata manusia itu munafik? Ceritanya bermula apabila Yusuf berjalan lurus di anjung Masjid Jamek, di sebuah taman perumahan di Johor Bahru. Dia terdengar satu perbualan antara manusia yang berkumpul dalam bulatan. Salah seorang yang Yusuf kenal ialah Haji Abdul Jalil, bapa kepada Adam Aliman, rakan serumahnya sewaktu menuntut di Universiti Al-Azhar. Yusuf kenal dengan Haji Abdul Jalil daripada gambarnya yang tertampal pada dinding bilik Adam sewaktu menjadi teman serumahnya. Perbualan itu sangat deras dan kencang sehingga Yusuf terdengar isi perbualan mereka.

“Imam kita tu sebenarnya berketurunan dari keluarga yang tidak elok. Baru saya tahu sebenarnya dia anak kepada seorang pelacur. Dia tidak pantas menjejakkan kaki di rumah Allah. Dia perlu diusir” ujar Abdul Jalil dengan tegas. Beberapa orang yang lain menyokong kata-katanya, seolah-olah semuanya benar. Tetapi semua itu hanyalah dusta kerana dia percaya apa yang disebaliknya. Kepercayaan manusia sukar ditandingi kepercayaan saat zaman Rasullah s.a.w seperti mana sahabat rapat baginda iaitu Abu Bakar yang mempercayai setiap kata-kata Rasullah s.a.w sehingga beliau digelar sebagai as-siddiq yang bermaksud membenarkan kata-kata Rasullah s.a.w.

“Dia perlu diusir sebelum perkara ini diketahui ramai. Jika orang ramai tahu, malu kita. Imam masjid kita adalah anak bekas seorang pelacur, anak haram.” Sambut Kamil Hassan jejaka berketurunan India yang pengikut kuat Haji Abdul Jalil. Bengis wajahnya menampakan betapa bencinya dia dengan imam itu. Entah apa yang dilakukan oleh Imam Haji Abdul Hamid sehingga mendapat kebencian yang berlipat ganda. Rona hidup manusia sungguh aneh. Dalam seribu, sukar mencari orang yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Yusuf sedih dengan sikap para ulama tersebut. Mereka semua adalah munafik. Bukan sahaja syaitan yang bertopengkan manusia, malah lebih teruk dari itu. Sepatutnya Haji Abdul Jalil berperanan dalam menunjukkan model yang baik kepada penduduk setempat. Ini tidak, tidak tahu perkara yang sebenarnya, terus menghukum. Lalu Yusuf menuju ke arah sekumpulan lelaki tersebut.

“Assalamualaikum, ana minta maaf mengganggu antum yang sedang asyik berdiskusi” sapa Yusuf dari belakang. Kedatangannya disambut sedingin salju di puncak Himalaya. Mimik muka yang seolah-olah membongkakkan diri jelas kelihatan. Wajah kucing lagi manis dipandang jika melihat wajah mereka yang berdusta. Kedinginan yang ditunjukkan sekumpulan jemaah jelas mencengkam tulang-temulang Yusuf. Namun kedinginan itu ditepis demi menegakkan keadilan yang hakiki. Dari raut wajah yang berkedut-kedut, Yusuf dapat merasakan kehadirannya tidak dialu-alukan umpana tetamu yang tidak diundang.

“Waalaikumusalam” jawab sekalian yang ada. Jika tidak menjawab salam Yusuf maka, tercipta satu dosa. Hukum memberi salam adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib. Yusuf terus mendekat dan duduk di sebelah Kamil.

”Maafkan ana, ana terdengar isi perbualan antum. Andai benar Imam Haji Abdul Hamid itu anak haram dan anak seorang pelacur, tidak salah jika dia mengabdikan diri kepadaNya. Kita semua dari pencipta yang satu”

”Apa anta faham? Kami tidak mahu masyarakat Islam dipandang serong disebabkan anak haram itu. Sebelum berita ini tersebar, elok kita mencegahnya,” balas Haji Abdul Jahil dengan tegas.

”Betul tu, saya tidak mahu berimamkan seseorang yang tidak jelas asal usulnya. Saya khuatir, pahala solat saya tidak diterima Allah disebabkan saya berimamkan anak haram” cela Kamal.

”Subahanaallah. Bawa mengucap saudara-saudaraku. Kita semua sama sahaja dimataNya. Andai anak haram atau dia pelacur sekalipun, tidak haram baginya menemui Allah. Juga tidak haram syurga itu untuk dirinya jika dia benar-benar layak. Berilah sedikit ruang untuknya membuat kebaikan” jelas Yusuf tenang.

Belum sempat Yusuf menyudahi hujahnya, beberapa orang jemaah mula bangkit dan ingin beredar dari situ. Lalu Yusuf menghalang langkah mereka.

”Nanti saudaraku. Pernahkah saudara mendengar kisah di zaman Rasullah s.a.w bagaimana seorang pelacur masuk ke dalam syurga hanya kerana dia memberikan susu kepada anak anjing yang kelaparan. Dengan hati yang tulus dan ikhlas, Allah telah menempatkan wanita tersebut sebagai ahli syurga. Saudaraku, walau sejahat mana diri seseorang, sedajalmana keturunannya, selagi dia mendapat hidayah Allah, selagi itulah dia mempunyai ruang dalam kamar syurga. Sahabat semua, Muawiah pernah mendengar Rasullah s.a.w berkata, jika seseorang mencari keburukan orang, maka ia telah merosakkannya” Jelas Yusuf.

Tatakala seseorang itu mencari keburukan orang lain, maka akan timbul satu sifat yang paling dasyhat, iaitu benci dan pandang buruk terhadap orang itu. Seluruh jemaah terdiam dan terkaku dengan kata-kata Yusuf, seorang anak muda yang baru sahaja menyelesaikan sarjananya di Al-Azhar dalam jurusan hadith. Haji Abdul Jalil masih memperlihatkan wajah yang benci dan bengis. Niatnya untuk menjatuhkan Imam Haji Abdul Hamid terbantut. Rancangannya apabila imam tersebut telah dipulaukan oleh penduduk kampung, bolehlah dia menjadi imam di kawasan tersebut kerana baginya tiada yang layak selain dirinya. Tetapi sejak kemunculan anak muda yang bernama Yusuf, iaitu rakan kepada anak sulungnya, Haji Abdul Jalil dikecam hebat.

”Anak muda, anta siapa? Cuma penduduk kampung yang baru kembali semula di sini. Anta tidak tahu apa yang berlaku di kampung ini. konon belajar sampai Al-Azhar, sepatutnya anta menyokong kami dan bukannya, anak haram tu” kata-kata Haji Abdul Jalil lantang. 

”Abi Umairah pernah meriwayatkan bahawa Rasullah s.a.w pernah bersabda, barang siapa yang menelanjangkan belakang seorang muslim dan memukulnya tanpa hak, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya. Saya tidak mahu bersubahat dan menjahilkan orang-orang yang sebenarnya mendapat perlindungan daripada Allah. Berdosa besar jika saya memfitnah saudara saya sendiri. Ibarat saya memakan daging saudara saya sendiri” balas Yusuf.

”Ini bukan fitnah, tapi hakikat...” kata Haji Abdul Jalil tersekat dek kerana seruan azan asar yang memecah ke seluruh molekul-molekul udara. Zarah-zarah dalam udara mula bergoncangan dan bergetar mendengar suara azan dari corong pembesar suara. Yusuf berjalan di hadapan Abdul Jalil dengan menarik nafa lega. Lega bukan dapat melepaskan kemarahannya tetapi dapat melepaskan dosa kerana telah memberitahu apa yang baik dan yang buruk.

Saat itulah Yusuf menganggap manusia itu kebanyakannya munafik. Dari perdebatan itu, Haji Abdul Jalil merancang satu perancangan untuk mengusir Yusuf dari kawasan kampungnya. Satu perancangan yang hebat mula tercipta. Haji Abdul Jalil sanggup melakukan apa sahaja asalkan impiannya tercapai. Malah, dia sanggup menggunakan anak gadis sebagai umpan untuk mengoda Yusuf. 

Yusuf seorang jejaka berumur 26 tahun, pemuda yang sangat tampan di Al-Azhar. Tinggi dan wajahnya seolah-olah gaya seorang model terkenal. Badannya yang sasa menambahkan pekej dia seorang lelaki idaman wanita sedunia. Dengan ketampanan itulah, dia berjaya menarik berpuluh-puluh mahasiswi Islam melakukan amal kebajikan. Selaku Presiden Kebajikan Pelajar Nusantara di Al-Azhar, Yusuf sangat terkenal sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab.

Tidak hairanlah jika Scha Syuhada, sanggup menerima pelawaan ayahnya untuk menggoda Yusuf. Jika ditangkap melakukan khalwat, dia sanggup bernikah dengan lelaki tampan seperti itu.

Satu perancangan jahat telah dibuat oleh Haji Abdul Jalil untuk menjatuhkan maruah Yusuf dengan menjadikan anaknya sendiri sebagai umpan. Saat itu, Yusuf telah selesai melakukan solat sunat. Malam yang hening, hanya Yusuf sahaja yang mendiami rumah pusaka itu hasil peninggalan orang tuanya. Setelah selawat dan bacaan kalimat suci al-Quran, satu ketukan terdengar di muka pintu.

Yusuf bangkit, tanpa rasa ragu lalu membuka pintu. Setelah dibuka, tiba-tiba jasadnya ditolak oleh satu kelibat yang tidak dapat dikenal pasti kerana ditutup oleh purdah. Jasad ditolak, lantas dengan spontan pintu ditutup serapat-rapatnya. Wajah yang tidak dapat dilihat yang ditutupi oleh pakaian, lalu diluncur satu persatu. Dari selendang yang menutupi wajahnya dan tudung yang menutupi kepalanya hingga bajunya yang menutupi auratnya. Semua berlaku secara spontan. Yusuf terus tersandar pada kerusi. Dia terus mengucap panjang. 

”Subahannallah...”
”Apa yang awak buat ni? Tolong pakailah semula pakaian,” Yusuf bangkit dan menghulurkan beberapa kaki kain dan meminta wanita itu menutupi semula jasadnya yang terdedah.
”Janganlah sayang, saya datang ke sini untuk menghiburkanmu. Malam ini adalah malam kita. Marilah sayang” Syuhada mula mendekatkan dirinya kepada Yusuf dengan aksi yang menggoda.

Yusuf mencampakkan kain dan menutupi semula tubuh Syuhada, tetapi tetap sahaja diluncurkan pakaiannya. Yusuf, mengucap kalimah Allah beberapa kali agar diperteguhkan imannya yang hanya setebal kulit bawang dan tidak berbentrokkan dengan ajaran islam yang agung.”Semoga Allah melindungi diriku daripada godaan Syaitan,” benak Yusuf.

Yusuf melihat mata Syuhada yang melolok dan wajahnya menjadi merah. Yusuf pula menjadi takut akan terjadinya hal-hal yang tidak diinginkan dan segera dia berlari menuju pintu yang tertutup rapi. Yusuf hanya bertekad, dia bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi, hanya menahan sesuatu yang sudah pastinya membawa kemurkaan. Namun syuhada cepat-cepat mengejar lalu menerkam Yusuf yang sedang membuka pintu, ditarik sekuat hati oleh Syuhada dari belakang kemeja Yusuf sehingga terkoyak. Tepat masa mereka berada di belakang pintu, sambil tarik menarik, datanglah segerombolan manusia yang diketuai oleh Haji Abdul Jalil. Mereka mendapati keadaan Yusuf dan Syuhada dalam keadaan yang mencurigakan. Ditambah lagi keadaan Syuhada berpakaian mencih.

”Astaghfirullah,” ucap Haji Abdul Jalil dengan sengaja. Wajahnya seolah-olah terkejut sebaik melihat Yusuf berasmaradana dengan anak gadisnya. Dengan tidak semena-mena, Syuhada berkata kepada ayahnya yang berdiri dengan membuatkan wajah tercengangnya.

”Ayah, Yusuf cuba perkosa Syuhada untuk berzina. Syuhada takut ayah.” Syuhada menagis. Dia memfitnah Yusuf. Tanpa memberi kesempatan untuk membela, Yusuf diheret bagai anjing kurap, dia terus diheret hingga ke perkarangan Masjid Jamek. Di situlah terkumpul semua penduduk setempat yang menyaksikan bagaimana Yusuf diseret dan diikat pada pagar besi masjid.

”Suara riuh rendah seolah-olah menginginkan Yusuf dibunuh disitu juga. Haji Abdul Jalil menjadi batu apinya dengan alasan telah menodai anak perempuannya. Syuhada mula bimbang jika keadaan Yusuf diapa-apakan. Syuhada hanya ingin memiliki Yusuf.

”Siapa yang melakukan ini?” tanya Imam Haji Abdul Hamid.
”Kami semua. Dia perogol, sepantasnya dia diperlakukan sedemikian,” jawab Haji Abdul Jalil dengan yakin. Dia mendapat sokongan daripada penduduk kampung.

”Adakah kamu melihat sendiri kejadiannya yang sebenar?” tanya Imam Haji Abdul Hamid. Penduduk kampung diam seketika.

”Tentu, waktu kejadiannya kami berada di situ,” balas Haji Abdul Jalil. Penduduk kampung mula bersorak dan mengiyakan kata-kata Haji Abdul Jalil.

”Berada di situ? Ini bermakna kamu saksikan sendiri kejadiannya. Bagaimana kamu tahu akan berlakunya maksiat di rumah Yusuf? Sebelum ini tiada apa sangkaan langsung. ” hairan Imam Haji Abdul Hamid. Penduduk kampung sekali lagi diam.

”Wahai anak muda, tidakkah kau mahu membela dirimu? Tanya Imam Haji Abdul Hamid kepada Yusuf. Yusuf hanya senyum dan terus tersenyum.

”Biarlah mereka mencaci, menuduh, dan memfitnahku. Aku telah jelaskan perkara yang sebenarnya. Aku hanya berserah kepada Allah untuk menyelesaikan semuanya,” tenang Yusuf.

”Benar kata kau, seseorang yang dizalimi atau dianiya dan dia telah memberitahu perkara yang sebenarnya dan setelah itu dia tidak membalas cacian atau fitnah tersebut dn hanya berserah kepada Allah, pasti Allah akan membantumu.” tiba-tiba datang satu suara wanita yang tutup litup ditutupi kain, auratnya jelas terjaga.
”Siapakah kau?” tanya Haji Abdul Jalil.

”Itu tidak perlu kalian ketahui. Aku datang Cuma mahu menguraikan apa yang tersimpul di sini. Lihatlah bila kemeja Yusuf terkoyak bahagian belakangnya, maka dialah yang benar dan si wanita yang dusta. Sebaliknya apabila terkoyak di bahagian hadapan maka dialah yang berdusta pula untuk menutup kesalahannya. Memang yang demikian adalah kisah tauladan daripada kisah Nabi Yusuf a.s sewaktu dituduh berkhalwat dengan Zulaikha,” sambung wanita itu.

Imam Haji Abdul Hamid terus mendekat ke arah Syuhada. ”Beristighfarlah wahai Syuhada dan mohonlah ampun atas dosamu. Engkau telah berbuat salah dan berdusta pula untuk menutupi kesalahanmu,”

Syuhada terus berlari ke arah Yusuf dan menyentuh kaki Yusuf memohon maaf. Air matanya tidak terbayang seribu penyesalan. Yusuf hanya mampu terlentang pada pagar besi sambil tangannya masih lagi terikat. Haji Abdul Jalil mula hendak melarikan diri namun kakinya terpasak oleh panggilan Imam Haji Abdul Hamid.

”Jalil, kita ini bersaudara seislam. Jika apa yang kumiliki menjadi punca segalanya, kau ambillah apa kepunyaan dan hakku. Sesungguhnya, aku bukanlah manusia yang sukakan penindasan dan pertelingkahan.

”Ana minta maaf, ana khilaf atas semua yang berlaku sebab ana iri hati pada anta. Tolong maafkan ana. Ana janji perkara ini tidak akan berulang lagi” balas Haji Abdul Jalil sambil menangis, lantas terus dipeluk Imam Abdul Hamid yang telah menjadi musuhnya beberapa tahun yang lalu. Kisah permusuhan itu telah terpadam api kemarahannya. Kejahatan akhirnya terpadam juga dalam hati Haji Abdul Jalil, sekarang hanya talian persahabatan yang mula terjalin. Betapa besarnya kuasa yang cuba ditunjukkan oleh Allah s.w.t. Allahuakhbar.

Syuhada juga turut berubah, dalam masa yang sama dia masih lagi menaruh hati kepada Yusuf meskipun Yusuf telah memberitahu bahawa dia dianggap sebagai adik, namun perasaan cinta itu sukar untuk dibuang malah sudah terpatri dengan kuatnya. Jika dahulu jiwa Yusuf kosong tanpa kehadiran seorang wanita, tanpa ada getaran namanya cinta dan tanpa bayangan wajah seorang wanita. Tetapi kita semuanya berubah apabila Yusuf sering tertanya-tanya siapakah gerangan wanita yang berpurdah.

* * *


Masih lagi teringat-ingat dalam setiap benak Yusuf. Dia terbayang akan wajah wanita yang telah menyelamatkannya. Belum sempat dia mengucapkan syukur dan terima kasih, wanita itu pergi tanpa pamitan. Wajahnya dilitupi dari purda jingga. Yusuf meneliti setiap bibit-bibit persoalan. Atas magra dan getaran jiwa yang belum pasti kebenarannya. ” Adakah itu cinta? Ah, itu bukan cinta” sangkal Yusuf bertubi-tubi.

Hatinya belum tersentuh namanya cinta, walaupun telah berkelulusan sarjana Al-Azhar, sudah pasti menjadi rebutan wanita-wanita lain terutama para ulama yang meninginkan Yusuf sebagai menantu mereka. Tidak lepas juga Abdul Jalil, yang ingin menjadikan Yusuf sebagai suami Syuhada tetapi ditolak oleh Yusuf dengan menganggap Syuhada sebagai adik sendiri. Memang kebal pintu cinta Yusuf, namun getaran pada pintu itu mula dirasakan sebaik memikirkan wanita yang terlindung disebalik purdah yang telah menyelamatkannya. 

Dari corong pembesar suara, terandar dan bergema seruan ilahi. Yusuf bangkit dari sofa lalu mengambil wuduk dan terus melulu ke masjid. Sesudah selesai menunaikan solat Asar, Yusuf terserempak dengan Adam. Adan senyum, Yusuf turut membalas senyuman itu.

”Assalamualaikum Yusuf”

”Waalaikumusalam Adam. Ana mahu minta maaf berkenaan hal semalam. Ana tak ada niat langsung...” Kata-kata Yusuf dipotong oleh Adam.

”Subahannallah, Allah maha mengetahui saudaraku. Andai tiadaku disana sekali pun, sudah pasti aku lebih mempercayaimu. Ana lebih mengenali dirimu daripada ana mengenal keluarga ana sendiri. Sejak kejadian semalam, ternyata mereka berubah drastik. Betul kata orang, segala ujian ada hikmahnya.”

”Alhamdulilah, semua sudah ditentukan olehNya. Sebaik-baik doa adalah alhamdulilah dan tujukanlah kepada ayah dan saudara anta.” Balas Yusuf.

”Syukran. Terlanjur kita berjumpa, ana ingin sampaikan jemputan seseorang. Ingat lagi sama Amirul Mukminin, senior kita di Al-Azhar.

“Amirul Mukmini yang diberi gelaran pendebat terhebat di Al-Azhar tu ke? Mustahil ana boleh lupa. Kenapa dengannya?”

“Ya pendebat terhebat, anta pula pemuda terkacak” usik Adam membuatkan mereka berdua ketawa.
“Insyaallah, sabtu depan dia akan menikah dengan anak Imam Bohari Idul dari Kampung Salak Siang dan dia menjemput kamu dan ana ke majlisnya.”

“Jika diizinkan Allah, ana akan ke sana. Tapi kita pergi bersama-sama ya, maklumlah, ana ni segan sikit”
“Baiklah” Balas Adam tersenyum.

Melangkah keluar Adam dan Yusuf dengan perbualan yang rancak. Perkenalan Adam Aliman dan Yusuf Yasman telah terjalin hampir enam tahun semenjak mereka bersama-sama kuliah di Al-Azhar. Adam mengambil sarjana dalam jurusan perundangan islam dan kini telah ditawarkan menjadi peguam syariah beberapa bulan yang lalu di ibu kota. Manakala Yusuf mengambil sarjana dalam jurusan Hadith dan sirah. Dari Al-Azhar sehinggalah ke kampung, mereka tetap bersahabat walaupun hubungan persahabatan mereka telah dicalarkan oleh Abdul Jalil namun Yusuf tidak sedikitpun menyimpannya di dalam hati. Sedikitpun titik-titik hitam, dia menganggap semua itu adalah ujian daripadaNya.

Setelah pulang dari masjid, Yusuf terduduk diam di atas sofa. Dia masih lagi teringat kata-kata Adam.
“Amirul Mukminin? Bila ana nak kahwin, umur dah 26 tahun, kalau ana kahwin sekurang-kurangnya ada yang jaga makan dan minum” Rengus Yusuf.
“Astagfirullah, tak sepatutnya anak cakap macam tu”

Setelah itu, terus Yusuf melenakan dirinya tanpa memikirkan perkara yang tiada noktahnya. Dalam terlena Yusuf terus diganggu bayangan wanita yang pernah menyelamatkannya semalam. Yusuf tersedar dari lena dan berzikir tidak sudah. Ini bukan kali pertama Yusuf teringat akan wanita itu tapi sudah berkali-kali. Tanpa rasa ragu, Yusuf terus berjumpa dengan Imam Abdul Hamid untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Datangnya ke rumah Imam Abdul Hamid dengan harapan menggunung supaya dapat menyelesaikan masalah yang mengelabui fikirannya sejak kebelakangan ini. Sampai sahaja di hadapan pagar Imam Abdul Hamid, Yusuf memberhentikan niatnya, lalu berpatah balik untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang ke rumah Yusuf sekali lagi mengubah niatnya lalu berpatah balik ke rumah Imam Abdul Hamid. Sebaik tiba di perkarangan rumah Imam Abdul Hamid, hatinya tidak lagi kuat dan berpatah hati lalu terus pulang ke rumah.

Kali ini dia tidak mengubahnya niatnya. Yusuf terus pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, Yusuf terserempak dengan Imam Abdul Hamid di perjalanan.
“Assalamualikum Yusuf”
“Waalaikumusalam Haji”
“Nak kemana?”
“Niat nak menuju ke rumah pak haji, tapi saya batalkan niat”
“Lor, kenapa? Mari tuju ke rumah saya, saya pun nak pulang ni”
Yusuf menuruti kata-kata Imam Abdul Hamid dan berpatah balik. Sampai di rumah, Yusuf terus mengutarakan niatnya. Dia diberi masa oleh Imam Haji Abdul Hamid untuk berehat seketika dan mengajukan secawan teh yang disiapkan oleh Hajah Wan Salbiah, isteri kepada Imam Haji Abdul Hamid. Yusuf sedikit gugup untuk menerangkan dan memulakan ceritanya. dia malu untuk memberitahu niatnya datang ke rumah Imam Haji Abdul Hamid.

Sepuluh minit berlalu, Yusuf masih lagi mendiamkan diri. Ternyata Yusuf seorang jejaka tampan yang pemalu.
”Yus, dia pula. Apa yang nak disampaikan?” tiba-tiba suara Haji Abdul Hamid memecahkan kesunyian. Yusuf sedikit tersentak.
“Saya malu sebenarnya, pak aji, mak aji” balas Yusuf
“Apa yang nak dimalukan? Anggap sahaja kami berdua seperti orang tuamu.”
“Saya...saya...” kata Yusuf tersekat-sekat.
”Apa dia?” sergah Hajah Wan Salbiah.
“Saya nak tahu siapa perempuan yang memakain jilbab pada malam tu?”
“Pandai pun bersuara, ingatkan dan gagap tadi” usik Hajah Wan Salbiah.
“Perempuan yang berjilbab malam tu? Maksud kamu, perempuan yang menolong kamu daripada difitnah?” 

Tanya Haji Abdul Hamid untuk mendapatkan kepastian. Senyuman sinis mula terpancar pada bibir pasangan yang separuh abad usianya. Yusuf tidak terus menjawab lalu dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Hajah Wan Salbiah hanya mampu tersenyum.

“Kalau kamu dah tahu siapa dia, apa yang akan kamu lakukan?” Tanya Haji Abdul Hamid.
”Saya akan sedekahkan seribu alhamdulilah kepadanya sebagai ucapan terima kasih” Jawab Yusuf.
”Itu sahaja? Tidak ada niat lain?” Tanya Hajah Wan Salbiah
”Sebenarnya ada, tapi saya malu mak aji”
”Malu? Macam serius aja bunyinya. Cuba jangan nak berbelok-belok, mak aji tak suka kalau jalan jem, baik kita ikut highway.”
”Saya tak tahu nak cakap macam mana, saya takut nanti orang akan fikir saya tak waras.
”Belum cerita dah fikir lain. Cuba kamu ceritakan dahulu pada kami berdua supaya kami faham apa niat kamu tu”
“Macam ni pak aji, mak aji. Saya tak tahu asal usul perempuan tu, wajahnya, orangnya dan sebab apa dia membantu saya, tetapi saya dah mula menyimpan perasaan terhadapnya. Saya tak tahu sama ada perasaan itu cinta atau sebaliknya. Tapi apa yang pasti, saya mahu menjadikannya sebagai calon isteri saya”
”Apakah kau sudah memikirkan semasak-masaknya akan perkara ini?” Tanya Hajah Wan Salbiah.
”Sudah Mak aji, insaayallah saya siap”
”Bagaimana kalau saya katakan, perempuan itu hodoh, wajahnya melecur akibat terbakar, tangannya kudung sebelah, berkepala botak akibat kebakaran dan miskin” Haji Abdul Hamid mula menguji kejujuran dan keikhlasan Yusuf.
”Apa benar semua itu pak aji?” Yusuf ingin mendapatkan kepastian. Tanpa bersuara, mak aji dan pak aji mengangguk-anggukkan kepalanya.
”Jika itu jodoh yang diberikan oleh Allah, saya terima. Saya redha dan tidak kisah sifat fizikalnya, tapi saya sudah teringatkan bayangan tubuhnya pada malam itu. Lagi pula, dia telah menyelamatkan saya, jika tiada dia, entah apa akan jadi pada saya.”
”Adakah kamu benar-benar ikhlas?” Tanya Haji Abdul Hamid.
”InysaAllah, saya siap.”

Seminggu setelah itu berlangsunglah upacara gilang gemilang akan pernikahan Yusuf dan Zulaikha, wanita yang menolong Yusuf pada malam itu. Syuhada walaupun masih lagi mencintai Yusuf namun akhirnya dia terima akan perkahwinan itu walaupun pedih. Berita perkahwinan Yusuf dengan Zulaikha semakin tersebar luas. Rata-rata penduduk dan kenalan Yusuf tidak mengenali Zulaikha. Semasa upacara akad nikah dilakukan, wajah Zulaikha masih setia lagi ditutup rapat dengan jilbabnya. 

Tiada siapa yang melihat wajah sebenar Zulaikha, begitu juga dengan Yusuf. Yusuf tidak diberi peluang untuk melihat wajah Zulaikha kecuali pada malam pertama. Mungkin Zulaikha bimbang, Yusuf akan jijik dengan kehodohan wajahnya. Zulaikha sedar di hanya manusia yang mendapat tuah apabila dikhabarkan berkhawin dengan Zulaikha. 

Majlis yang gilang gemilang itu berlangsung tanpa ada gangguan. Ternyata Allah memelihara majlis pernikahan mereka. Zulaikha hanya dilihat melalui matanya, tangannya juga disarungkan dengan sarung tangan. Namun, tidak sedikit pun dihati Yusuf untuk merasa jijik dengan isterinya. Dia benar-benar ikhlas mengisterikan Zulaikha. Bukan rupa yang Yusuf jatuh hati, tetapi hati Zulaikha. Dengan hatilah dapat menguasai cinta seseorang. Hati Yusuf ternyata kuat dan teguh dengan mengatakan ingin mengahwini Zulaikha. 

Dari pagi sampai ke petang, dari petang hingga ke senja. Satu persatu para tetamu beransur pulang dan berkurangan. Yusuf menolong orang-orang kampung membersihkan kawasan rumah, manakala Zulaikha hanya duduk di dalam bilik seorang diri.
”Suf, pergilah masuk bilik tu. kesian isterinya ditunggu lama. Hal-hal kat luar ni biar kami semua yang uruskan” Ujar Adam.
”Tak sedap la kalau ana tinggalkan kalian buat semua ini”
”La, hari inikan anta raja sehari. Lagi pun memang tanggungjawab kami sebagai tetangga. Pergilah temui isterimu.” Kata Adam sekali lagi sambil diiyakan oleh orang-orang kampung.
Yusuf dengan langkah yang berat meninggalkan orang-orang kampung membersihkan kawasan halaman rumah. Sebaik pintu kamar pengantin dibuka, Yusuf terketar-ketar kaki melangkah. ”Mungkin inikah yang dialami oleh setiap pengantin baru.” benak Yusuf.
Pintu ditutup rapat, lalu Yusuf terus mendekati Zulaikha dengan duduk di sebelahnya. Jantung Yusuf terus berdegup kencang. Seolah-olah aura Zulaikah terlalu dalam dirasakan.
”Assalamualaikum” Ujar Yusuf terketar-ketar.
”Waalaikumusalam” Zulaikah menjawab sambil menghadap lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya.
Yusuf terus memegang kedua-dua bahu Zulaikha. Selepas itu, Yusuf terus meluncurkan jilbab yang menutupi wajah Zulaikha. Sebaik kain yang menutupi muka Zulaikah dileraikan, Yusuf terpaku dan terkejut. Terus dia berlari membuka pintu dan mendapatkan Haji Abdul Hamid.
”Pak aji...pak aji....!!!!” Jerit Yusuf. Sekalian yang ada di situ binggung dengan keadaan Yusuf.
”Kenapa Suf, pak aji ada di sini?” jawab Haji Abdul Hamid. Yusuf terus pergi menuju ke arahnya.
”Siapa dalam kamar penganti pak aji? Siapa?”
”Isteri kamu lah”
”Bukan pak aji. Dia bukan isteri saya”
”La, kenapa kamu cakap macam tu?”
”Dulu pak aji pernah cakap, isteri saya hodoh, wajahnya terkena kesan bakar dan hodoh. Tangannya cacat. Tapi yang ada dalam bilik tu bukan isteri saya.”
”Saya isteri kamu bang...” Tiba-tiba suara Zulaikha kedengaran.
“Saya isteri kamu yang sah. Saya yang meminta pak aji berkata sedemikian. Saya mahu abang miliki saya seikhlas hati. Ternyata tepat tekaan saya, abang seorang lelaki yang baik dan ikhlas. Pak aji dan mak aji sebenarnya adalah pak cik dan mak cik saya. Mereka telah membela saya sejak kematian orang tua saya.” ujar Zulaikha.

”Subhanallah, abang minta maaf Zu. Abang Cuma terkejut. Abang redha walaupun isteri abang secacat manapun, abang terima seadanya. Tapi yang sebaliknya abang terima. Zu terlalu sempurna untuk abang. Abang takut, abang tidak cukup baik untuk Zu.”

“Abang terlalu baik untuk Zu. Insyaallah, Allah akan bantu kita dalam menyesuaikan diri. Zu sebenarnya telah jatuh cinta dengan keikhlasan abang. Tolong terima Zu seadanya abang.”

“Pak aji dan mak aji minta maaf Suf. Kami diminta berkata sedemikian oleh Zulaikha. Tapi pak aji yakin, Yusuf dapat terima keadaan Zu yang hodoh.” cela Haji Abdul Hamid.

”Suf, wanita yang cantik, baik dan soleha adalah untuk lelaki yang baik dan juga soleh. Kamu sememangnya layak untuk Zulaikha. insyaAllah.” Sokong Hajah Wan Salbiah.

”Allahhuakhbar. Terima kasih Allah, kerana telah memberikan aku isteri yang sempurna dan keluarga yang baik.”

Zulaikha ternyata seorang wanita yang rupawan dan cantik. Seorang wanita yang soleha dan menjaga adap pergaulan. Memang sesuai dengan Yusuf, ketampanannya yang menjadi kegilaan ramai wanita akhirnya ditakluk oleh seorang wanita yang cantik. Zulaikha memakai jilbab kerana dia khuatir jika diganggu oleh lelaki yang hanya memandang kecantikan. Jika cinta itu memandang kecantikan, maka cinta itu akan hilang suatu hari nanti, tetapi percayalah jika cinta itu ikhlas dari hati, maka cinta itu pasti akan kekal. InsayAllah.