1. Dari Saad r.a meriwayatkan
bahawa Nabi SAW telah bersabda: Allah SWT memberi pertolongan kepada umat ini
(bukan berdasarkan kepada keupayaan bahkan) Allah SWT memberinya pertolongan
kerana do’a-do’a, sembahyang-sembahyang dan keikhlasan orang-orang yang lemah.
(HR Nasa’i)
2. Dari Muawiyah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku adalah
seorang utusan dan Allah yang memberi hidayah, dan aku hanyalah seorang yang
membahagi-bahagi dan Allah adalah zat yang memberi. (HR Tabrani)
3. Dari Umar bin Khattab
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Yang paling aku takutkan
terhadap ummatku ialah si munafiq (orang fasiq yang riya’) yang pandai pada
lidah (bercakap perkara-perkara keilmuan tetapi dirinya kosong dari iman dan
amal). (HR Baihaqi)
4. Dari Abu Hurairah r.a
berkata meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang untuk
menghasilkan dunia telah mempelajari suatu ilmu uyang sepatutnya dipelajari
untuk mendapatkan redha Allah SWT, dia pada hari Kiamat nanti tidak akan mencium
walaupun bau syurga. (HR Abu Daud)
5. Dari Malik r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Dua serigala kelaparan yang
dilepaskan pada satu kumpulan kambing tidak mampu memudaratkannya lebih dari
kemudharatan pada Agama yang dilakukan oleh sifat tamakkan harta dan keinginan
untuk menjadi orang yang berpengaruh. (HR Tirmizi)
6. Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah
bersabda: Wahai anak Adam!, Jika engkau terus bersabar (bilamana hilangnya
sesuatu dari dirimu) dan engkau terus harapkan pahala, maka aku tidak rela
membalasimu dengan balasan yang lebih rendah dari syurga. (HR Ibnu Majah)
7. Hadhrat Anas bin
Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang telah
mengatakan dengan lidahnya suatu perkara yg benar, yang diamalkan selepas itu,
maka Allah SWT akan menjalankan pahalanya sehingga Kiamat, dan di hari kiamat
nanti Allah SWT akan menganugerahkan pahala yang sempurna. (HR Musnad Ahmad)
8. Dari Abu Razin r.a meriwayatkan
bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidakkah aku khabarkan kepadamu
beberapa perkara asas yang mana kamu akan mendapat kebaikan didunia dan
akhirat? Hendaklah kamu duduk didalam majlis-majlis ahli zikir, dan apabila
kamu bersunyi diri hendaklah kamu menggerakkan lidah kamu setakat mana yang
kamu mampu untuk berzikrullah. (HR Baihaqi)
9. Dari Abu Hurairah r.a
dan Abu Said Al-Khudri r.a keduanya bersaksi bahawa Nabi SAW bersabda: Tidaklah
satu kelompok yang duduk mengingati Allah kecuali para malaikat menaungi mereka
dengan sayap-sayapnya, dan rahmat Allah meliputi mereka, sakinah turun ke atas
mereka dan Allah menyebut mereka dalam majlis para malaikat. (HR Muslim)
10. Dari Syaddad bin Aus
r.a berkata: Aku telah mendengar RAsulullah SAW bersabda; Sesiapa bersembahyang
untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang berpuasa untuk
menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah untuk
menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. (HR Musnad Ahmad)
11. Dari Anas r.a, katanya:
Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu Baginda bersabda: Ini adalah
angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya. Kemudian di waktu orang itu
sedang dalam keadaan sedemikian yakni angan-angannya masih tetap panjang dan
membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang
memotongnya iaitu kematian. (HR Bukhari)
12. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Jika seseorang telah
berkata: Telah binasa manusia, maka dialah yang paling binasa diantara mereka
(kerana dengan mengatakan demikian itu dia terjerumus di dalam dosa takabur
disebabkan dia menganggap orang lain hina). (HR Muslim)
13. Dari Muaz bin Jabal
r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan sebuah hadith
qudsi: Allah Azza waJalla berfirman: Orang-orang yang mencintai satu sama
lain kerana kebesaran dan kemuliaanKu akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada
hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada
mereka. (HR Tirmizi)
14. Dari Abu Umamah Bahili
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang
mukanya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, pada hari kiamat nanti Allah
SWT akan memelihara muka itu dari api neraka. Dan sesiapa yang kedua-dua belah
kakinya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, Allah SWT akan memelihara
kakinya dari api neraka. (HR Baihaqi)
15. Dari Hadrat Huzaifah
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Apa sahaja kekurangan
atau dosa yang berlaku pada seseorang dalam menunaikan hukum hakam yang
berkaitan dengan isterinya, hartanya, anak-anaknya, atau jirannya akan
dikaffarahkan oleh sembahyang, sedekah, amar-bilma’ruf dan nahi
‘anil-mungkarnya. (HR Bukhari)
16. Dari Abdullah r.a
berkata: Seolah-olah aku sedang melihat Rasulullah SAW menceritakan peristiwa
seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga berlumuran darah, beliau menyapu
darah dari mukanya dan berkata: Wahai Allah! Ampunilah kaumku, kerana mereka
tidak tahu. (Peristiwa seumpama ini berlaku kepada Nabi SAW sendiri ketika
peperangan Uhud berlaku. (HR Bukhari)
17. Dari Abu Darda r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku khabarkan
kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada puasa, sembahyang dan sedekah? Para
sahabat r.hum berkata: Bahkan ya Rasulullah! Baginda Rasulullah SAW bersabda:
Bersatu (hati) adalah lebih baik kerana perselisihan dan perbalahan akan
menghapuskan agama. (HR Tirmizi)
18. Dari Jabir bin
Abdullah r.a berkata; Aku mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: Barang
siapa bertemu Allah dalam keadaan tidak menyengutukan sesuatu selain daripada
Allah akan memasuki syurga. Dan barangsiapa bertemu Allah dalam keadaan dia
menyengutukan sesuatu denganNya memasuki neraka. (HR Muslim)
19. Dari Abu Umamah r.a
berkata seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Pesuruh Allah!
Apakah itu iman? Baginda SAW menjawab: Apabila kamu berasa gembira dengan amal
kebaikanmu dan kamu merasa benci dengan amal keburukanmu, maka kamu adalah
seorang yang beriman (mukmin). (HR Al-Hakim)
20. Dari Umar ibn Khattab
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu bertawakal kepada
Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki
sebagaimana memberi rezeki kepada burung-burung. Mereka pergi dipagi hari
dengan perut kosong dan kembali pada waktu petang dengan perut yang kenyang.
(HR Tirmizi)
21. Hadzrat Talhah ibnu
Ubaidullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku
mengetahui satu kalimah yang mana barangsiapa membacanya ketika hampir matinya,
kecuali mendapati ruhnya amat tenang keluar dari pada jasadnya dan kelak akan
menjadi nur baginya pada hari Qiamat. (Kalimah itu ialah La ilaha illallah).
(HR Abu Ya’la, Majma uz Zawaid)
22. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Iman itu lebih daripada 70 cabang,
yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang
patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu
yang menyakiti di tengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman. (HR
Muslim)
23. Dari Anas ibn Malik
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku berkeinginan untuk bertemu
dengan saudara-saudaraku. Para sahabat berkata, Tidakkah kami ini
saudara-saudara tuan? Baginda SAW menjawab: Kamu adalah sahabatku, tetapi
saudara-saudaraku ialah orang-orang yang beriman kepadaku, walaupun mereka
tidak melihat aku. (HR Ahmad)
24. Dari Abdullah bin
‘Amr bin ‘As r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
memberi makan saudaranya sehingga kenyang dan memberi minum sehingga hilang
dahaga, maka Allah SWT akan menjauhkannya dari api neraka jahanam sejauh dua
parit. Dan jarak antara dua khandak (parit) adalah sejauh perjalanan lima ratus
tahun. (HR Hakim)
25. Dari Muaz bin Jabal
r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Allah SWT memberi sepenuh perhatian
kepada seluruh makhlukNya pada malam 15 Sya’ban dan mengampuni seluruh
makhlukNya kecuali dua jenis manusia iaitu mereka yang melakukan syirik kepada
Allah dan orang yang ada sifat membenci seseorang dalam hatinya. (HR Tabrani)
26. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah ditanya bahawa amalan yang
manakah dengannya ramai manusia akan memasuki syurga? Sabda Baginda SAW: Takwa
(takutkan Allah SWT) dan akhlak yang mulia. Dan Baginda SAW ditanya: Amalan apakah
yang dengannya ramai manusia akan ke neraka? Lidah dan kemaluan (yang disalah
guna). (HR Tirmizi)
27. Dari Ibnu Abbas
r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW datang kepada dua kubur dan bersabda:
Penghuni dari kedua kubur ini sedang disiksa tetapi bukan kerana dosa besar
(yang susah untuk dihindari). Yang pertama kerana tidak menjaga dirinya dari
percikan kencing dan sebahagian yang lain disiksa kerana sentiasa memfitnah.
(HR Bukhari)
28. Dari Abu Bazah Aslami
r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai orang-orang yang hanya
Islam dilidah dan belum beriman di dalam hati! Janganlah mengumpat orang-orang
Islam dan janganlah sibuk mencari keburukannya. Barangsiapa yang sibuk mencari
kesalahan orang Islam, Allah akan menzahirkan keburukannya sehingga di dalam
rumahnya sendiri. (HR Abu Daud)
29. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang yang
keluar berjihad di jalan Allah SWT adalah seperti seseorang yang berpuasa dan
membaca Al-Quran di dalam sembahyang sepanjang malam dan dia berterusan sibuk
dengan berpuasa dan bersedekah sehingga mujahid di jalan Allah SWT itu pulang
ke rumahnya. (HR Ibn Hibban)
30. Dari Uthman bin Affan
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW apabila selesai mengkebumikan
mayat akan berdiri ditepi perkuburan dan berkata berdoalah untuk saudara kamu
ini, memohonlah supaya Allah meneguhkan hatinya (dalam menjawab soalan) kerana
sekarang dia sedang ditanya. (HR Abu Daud)
31. Dari Abu Hurairah r.a
berkata bahawa; Aku Rasulullah SAW bersabda: Umatku pada hari Kiamat akan
dipanggil dalam keadaan tangan, kaki dan mukanya bercahaya-cahaya dari kesan
basuhan air wudhu’. Oleh itu barangsiapa yang mahu supaya bertambahnya cahaya,
dengan menyempurnakan basuhannya maka lakukanlah. (HR Bukhari)
32. Dari Abu Qatadah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seburuk-buruk pencuri
ialah mereka yang mencuri dalam sembahyangnya. Para Sahabat bertanya: Ya
Rasulullah bagaimana mereka mencuri di dalam sembahyang? Baginda menjawab:
mereka yang tidak ruku dan sujud dengan sempurna (dalam sembahyangnya). (HR
Ahmad)
33. Dari Abdullah bin
Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Lakukan solah
seumpama solah perpisahan (sebagaimana seorang yang akan berpisah yakni solah
kamu yang terakhir), dan seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu
tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat kamu. (HR Ibnu Najar dalam Jami’us
Saghir)
34. Dari Abu Zar r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perhatian Allah Taala kepada
seseorang ketika sembahyang itu akan kekal selagi mana dia bertawajuh di dalam
sembahyangnya. Apabila seorang hamba itu memalingkan tawajuhnya daripada
sembahyangnya, maka Allah juga akan memalingkan perhatianNya terhadapnya. (HR
Nasai)
35. Dari Uqbah ibn Amir
Al Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa
sahaja dari kalangan orang Islam yang berwudhuk dengan sempurna kemudian
mendirikan sembahyang dengan penuh tawajuh yakni dia mengetahui apa yang
dibacanya sehinggalah sembahyangnya selesai, Allah akan mengampuni segala
dosanya sebagaimana dia baru dilahirkan dari perut ibunya. (HR Hakim)
36. Dari Ubadah ibn Samit
r.a sesungguhnya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba
yang selalu bersujud kepada Allah, kecuali setiap sujud Allah mencatit satu
kebaikan baginya dan menghapuskan satu dosa dan mengangkat satu darjat. Maka
perbanyakkanlah sujud (kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang). (HR Ibn
Majah)
37. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila imam membaca Ghairil
maghdhuubi alaihim waladhalliin, maka hendaklah kamu membaca amiin kerana
sesungguhnya barangsiapa yang aminnya menyamai dengan amiin para malaikat, maka
akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu. (HR Bukhari)
38. Hazrat Abu Umamah al
Bahili r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu mesti melakukan
solah tahajjud kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan ia
mendekatkan (kedudukan) kamu di sisi Tuhan kamu serta menghapuskan kejahatan
dan mencegah daripada melakukan dosa-dosa. (HR Mustadrak Al Hakim)
39. Dari Aisyah r.ha
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang istiqamah bersembahyang
12 rakaat, Allah akan membinakan mahligai untuknya di dalam syurga. (12 rakaat
itu ialah): 4 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas
Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum Subuh. (HR Nasa’i)
40. Dari Anas bin Malik
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah SAW bersabda: Tiga perkara akan
mengikuti mayat. Dua akan kembali dan tinggal yang satu. Akan mengikutinya (ke
kubur) ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Kemudian harta dan ahli
keluarganya akan kembali, tinggallah bersamanya amalannya. (HR Muslim)
41. Dari Barra ibn Azib
r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Taala dan para
malaikatNya menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang berada di saf hadapan
iaitu saf yang paling hampir dan para malaikat berdoa untuknya dan tidak ada
satu langkah yang lebih dicintai oleh Allah, daripada langkah orang yang memenuhkan
saf yang kosong. (HR Abu Daud)
42. Dari Abu Darda r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Bagi setiap sesuatu itu ada hakikatnya,
dan tidak mencapai hakikat iman seseorang hamba itu sehingga dia mengetahui
bahawa setiap apa yang menimpanya itu ialah satu ketetapan, bukannya datang
sendiri atau perkara yang belum terjadi itu tidak boleh berlaku. (HR Tabrani,
Ahmad)
43. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Diantara mereka yang sangat
mencintaiku ialah orang-orang yang datang selepasku. Mereka menyesal alangkah
baiknya dapat melihatku walaupun terpaksa membelanjakan rumah, segala hartanya
dan ahli keluarganya (dikorbankan supaya dapat melihatku). (HR Muslim)
44. Dari Shaddad ibn Aus
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang bijak itu
ialah orang yang sentiasa menghisab (memperbaiki) akan dirinya dan beramal
dengan amalan yang akan dibawa selepas mati. Dan orang yang bodoh itu ialah
orang yang sentiasa mengikut keinginan hawa nafsunya dan berangan-angan mendapat
(pengampunan) Allah. (HR Tirmizi)
45. Dari Masturid bin
Syaddad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah
tiadalah dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat adalah seumpama salah
seorang daripada kamu yang memasukkan anak jari ke dalam sebuah sungai dan
diangkat, maka lihatlah sebanyak mana air yang melekat di jari itu (begitu
sedikit) begitulah jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. (HR Muslim)
46. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang muslim menziarahi
saudaranya yang sedang sakit, atau mengunjungi saudara muslim semata-mata
kerana Allah, maka seorang malaikat berkata: Engkau dirahmati dan
langkah-langkahmu diberkati dan engkau telah membina sebuah tempat tinggal di
dalam syurga. (HR Tirmizi)
47. Dari Jabir r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin mencintai dan
dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau
tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik di antara manusia adalah orang yang
paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. (HR Dar Qutni dan Targhib)
48. Dari Abdullah Ibn
Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Mahukah daku
khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api
neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain
dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati. (HR Tirmizi)
49. Dari Ibnu ‘Abbas
r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa berjalan untuk
menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun
iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari di jalan Allah SWT akan dijauhkan
daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi
dan langit. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)
Terima kasih atas blognya semoga pahalanya terus mengalir dan menjadi asbab hidayat Allah SWT
BalasPadam