1. Dari Huzaifah bin
Yaman r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seorang mukmin bertemu
dengan seorang mukmin yang lain, hendaklah dia memberi salam kepadanya dan
berjabat tangan (untuk bersalam), dosa-dosa mereka berguguran seperti daun-daun
berguguran dari pohonnya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
2. Hazrat Iyyadh bin
Khimar r.anhu dari kabilah bani Mujashik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: Allah SWT telah mewahyukan kepadaku supaya kamu semua berusaha
mendapatkan sifat tawadhuk sehingga tidak akan wujud sifat bangga di antara
satu sama lain dan tidak menzalimi orang lain. (HR Muslim)
3. Dari Abu Said
Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu
fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun
melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)
4. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa duduk dalam satu majlis yang
tidak menyebut nama Allah dan tidak berselawat kepada Nabi SAW maka majlis itu
akan menjadi sebab kerugian pada hari Kiamat. Maka sekiranya mahu, Allah
mengazab mereka dan sekiranya mahu mengampunkan mereka. (HR Tirmizi)
5. Dari Abdullah bin
Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa tidur
dalam keadaan berwudhu’, malaikat akan tidur disisinya sehingga tersentuh
kulitnya. Dan apabila dia bangun malaikat akan berkata: Wahai Allah, ampunilah
orang ini kerana dia tidur dalam keadaan berwudhu’. (HR Ibn Hibban)
6. Dari Salman Al-Farsi
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah
mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian
yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon
sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan
tangan kosong. (HR Tirmizi)
7. Dari Umair Al-Ansari
r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa dikalangan
ummatku berselawat kepadaku dengan ikhlas sebanyak sepuluh kali, Allah SWT akan
menurunkan rahmat untuknya sepuluh rahmat. Dan diangkat darjatnya sepuluh kali
darjat, dan dituliskan untuknya sepuluh kebaikan dan diampunkan daripadanya
sepuluh kejahatan. (HR Nasai)
8. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan seorang yang
mempelajari ilmu agama kemudian tidak mengajarkan kepada orang lain adalah
seperti seorang yang mengumpulkan harta yang banyak di dalam khazanahnya tetapi
tidak membelanjakannya. (HR Tabrani)
9. Dari Jabir bin
Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Janganlah
kamu mempelajari ilmu agama untuk memperlihatkan kehebatan ke atas ulama dan
mempelajari ilmu untuk berhujah dengan orang-orang yang bodoh, dan untuk
menarik perhatian majlis. Barangsiapa berbuat demikian maka tempatnya ialah
didalam api neraka, api neraka. (HR Ibn Majah)
10. Dari Ibn Abbas r.huma
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Empat perkara barangsiapa mendapatinya
sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Hati yang
sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, badan yang sentiasa bersabar
dalam menangung kesusahan, isteri yang sentiasa menjaga dari khianat pada
dirinya dan pada harta suaminya. (HR Tabrani)
11. Dari Abdullah ibn
Mas’ud r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang membaca satu
huruf dari kitab Allah akan ditulis baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan
itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak berkata alif laam miim itu satu
huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf yang
berasingan. (HR Tirmizi)
12. Dari Abdullah bin
Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa
memberi azan selama dua belas tahun, adalah wajib baginya syurga dan dituliskan
baginya setiap kali azan ialah sebanyak enam puluh kebaikan, dan setiap kali
iqamat akan dituliskan baginya tiga puluh kebaikan. (HR Al-Hakim)
13. Dari Salman r.a
meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW bersabda: Barangsiapa berwudhuk dirumahnya
dengan sebaik-baik wudhuk kemudian pergi ke masjid, dia adalah menjadi tetamu
Allah. (Allah sebagai tuan rumah) dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah
untuk memuliakan tetamunya. (HR Tabrani)
14. Dari Abdullah ibn
Qurtd r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perkara pertama
yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat ialah sembahyang.
Sekiranya sembahyangnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan diterima dan
jika sembahyangnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak. (HR
Tabrani, Targhib)
15. Dari Abdullah bin Amr
Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perintahkanlah
anak-anakmu bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan rotanilah dia jika
tidak mahu bersembahyang ketika diumur sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara
tempat tidur mereka (antara adik beradik lelaki dan perempuannya). (HR Abu
Daud)
16. Dari Ibn Umar r.a
berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak sempurna iman bagi orang-orang
yang tidak amanah dan tidak ada sembahyang bagi orang-orang yang tidak ada
wudhuk. Dan tidak ada agama bagi orang-orang yang tidak sembahyang.
Sesungguhnya kedudukan sembahyang didalam agama, adalah seumpama kepala kepada
badan. (HR Tabrani dan Targhib)
17. Dari Abdullah ibn
Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Hanya ada dua jenis manusia
yang (dibolehkan) untuk dicemburui. Seorang yang telah Allah berikan kepadanya
Al-Quran dan dia telah membacanya di waktu siang dan malam, dan seorang lagi
yang mana Allah SWT berikan harta kekayaan dan dia telah membelanjakannya (di
jalan Allah) siang dan amalam. (HR Muslim)
18. Dari Asma binti Yazid
r.ha berkata; Baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memelihara
kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (di majlis itu,
contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu
dari terus mengumpatnya), maka Allah Taala akan menjamin untuknya daripada
pembebasan api neraka Jahanam. (HR Musnad Ahmad)
19. Dari Sahl bin Sa’ad
r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Jika dunia ini mempunyai nilai
sebesar kepak nyamuk sekalipun, maka Allah SWT tidak akan memberi minum kepada
orang kafir walaupun seteguk air (oleh kerana dunia ini tidak bernilai walaupun
sekadar ini, kerana itulah dunia ini diberi kepada orang-orang kafir dan
orang-orang yang berdosa tanpa batasan. (HR Muslim)
20. Dari Abu Said
Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya
dia tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak
mampu juga, hendaklah dia cegah (membenci) dalam hatinya dan ini ialah
selemah-lemah iman. (HR Muslim)
21. Dari Abu Bakar r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Jadilah kamu seorang yang
alim, atau orang yang belajar ilmu agama, atau orang yang gemar mendengar
pengajian agama dengan teliti, atau menjadi orang yang mencintai ilmu dan ahli
ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, yang mana kamu akan binasa.
Kelima ialah kamu membenci ilmu dan ahli ilmu. (HR Tabrani)
22. Dari Abdullah bin
Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang
belajar ilmu untuk maksud lain selain dari redha Allah SWT (umpamanya untuk
mencari kemuliaan, kemasyuran harta dan lain-lain) maka hendaklah dia menempah
tempatnya di neraka Jahanam. (HR Tirmizi)
23. Dari Abu Hurairah r.a
bahawa aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang yang
keluar dijalan Allah SWT – dan Allahlah yang lebih mengetahui siapa yang
berjihad dijalanNya – (untuk mendapatkan redhaNya) perumpamaannya adalah
seperti dia yang berpuasa, beribadat pada waktu malam, tunduk dihadapan Allah
SWT kerana takutkanNya, serta melakukan ruku’ dan sujud. (HR Nasa’i)
24. Dari ‘Ursi Ibni
’Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kerana kesalahan sebahagian
manusia Allah tidak akan mengazab kesemua orang (yang tidak terlibat di dalam
kesalahan itu). Akan tetapi Allah akan mengazab kesemua sekali, jika
orang-orang yang taat walaupun mampu melarang mereka-mereka yang engkar. (HR
Tabrani)
25. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sejahat-jahat manusia ialah
seseorang yang merosakkan akhiratnya kerana dunia orang lain. Yakni demi untuk
memberi manfaat dunia kepada orang lain, dia merosakkan akhiratnya dengan
melakukan perkara yang memurkakan Allah SWT. (HR Baihaqi)
26. Dari Abdullah bin
‘Amr r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang
memasyhurkan amalannya kepada manusia, maka Allah SWT akan menyampaikan kepada
pendengaran makhlukNya akan amalan riya’ ini (dan bahawa orang ini adalah
seorang yang riya’) dan Allah akan mengecilkannya pada pandangan makhluk dan
menghinakannya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)
27. Dari Abu Darda r.a meriwayatkan
bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang tidak hadir
adalah makbul. Seorang malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia
berdoa untuk kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada
orang yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang
engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)
28. Dari Muaz r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menelan
kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada
hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia
diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai. (HR Abu Daud)
29. Dari Abu Musa r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Allah membuka
seluas-luasnya tangan RahmatNya di waktu malam bagi mereka yang melakukan dosa
disiang hari dan membuka tangan RahmatNya di waktu siang bagi mereka yang
melakukan dosa diwaktu malam supaya bertaubat kepada Allah. (Kerahiman ini)
akan terus berlaku sehinggalah matahari terbit disebelah barat. (HR Muslim)
30. Dari Zaid bin Thabit
r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara yang dengannya
hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan semua keburukan):
1. Beramal untuk redha Allah SWT. 2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3.
Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama
jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibn Majah)
31. Dari Muaz ibn Anas
Al-Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa membaca surah
Al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali sehingga tamat akan dibinakan oleh Allah
untuknya sebuah mahligai di dalam syurga. Umar Ibn Khattab r.a berkata: Ya
Rasulullah! Kalau begitu saya akan membaca dengan lebih banyak lagi! Nabi SAW
menjawab: Allah sebaik-sebaik pemberi ganjaran dan lebih banyak daripada itu.
(HR Musnad Ahmad)
32. Dari Abu Tsabit,
dalam suatu riwayat lain disebutkan Abu Said dan dalam riwayat lain pula
disebutkan Abulwalid, iaitu Sahl bin Hanif r.a, dan dia pernah menyaksikan
peperangan Badar, bahawasanya Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memohonkan
kepada Allah SWT supaya dimatikan syahid dan permohonannya itu dengan secara
yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tingkat orang-orang
yang mati syahid, sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya. (Riwayat Muslim)
33. Dari Anas bin Abdul
Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku diangkat
(pada malam Mi’raj) ke langit, aku melintasi segolongan manusia yang tangannya
berkuku tembaga dan mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku bertanya kepada
Jibrail: Siapakah mereka ini? Dia menjawab: Mereka selalu memakan daging
manusia dengan memfitnah dan mengumpat orang. (HR Abu Daud)
34. Dari Abu Said
al-Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: Sesungguhnya dunia ini manis dan
menghijau (yakni lazat dan nyaman) dan sesungguhnya Allah itu menjadikan engkau
semua sebagai pengganti di bumi itu, maka itu Dia akan melihat apa-apa yang
engkau lakukan. Oleh yang demikian, maka takutilah harta dunia dan takutilah
pula tipu daya kaum wanita. Sebab sesungguhnya pertama-tama fitnah yang terjadi
di kalangan kaum Bani Israil adalah disebabkan kaum wanita. (Riwayat Muslim)
35. Dari Abu Zar r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Senyuman kepada saudaramu (muslim)
mu adalah sedekah, menyeru kepada ma’ruf dan melarang dari mungkar adalah
sedekah, menunjukkan jalan kepada seorang yang penglihatannya kabur adalah
sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah
dan menuangkan air timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. (HR Tirmizi)
36. Dari Abu Darda r.a
meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Masjid ialah rumah bagi
orang-orang yang bertakwa, Allah SWT telah mengambil tanggungjawab ke atas
mereka yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi
kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya,
mendapat keredhaan Allah SWT dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR
Tabrani)
37. Dari Sa’di r.a
menceritakan bahawa satu ketika kami duduk bersama-sama Nabi SAW. Nabi SAW
bersabda: Adakah salah seorang daripada kamu sanggup melakukan kebaikan seribu
kali setiap hari? Salah seorang daripada kami yang duduk di majlis itu
bertanya: Bagaimana seseorang boleh memperolehi seribu kebaikan setiap hari?
Nabi SAW bersabda: Bertasbih (Subhanallah) seratus kali akan dituliskan
ganjaran untuknya seribu kebaikan. Dan seribu dosa akan dimaafkan. (HR Muslim)
38. Dari Ali r.a
meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang muslim
mengunjungi seorang muslim yang sakit diwaktu pagi kecuali 70,000 malaikat
berdoa memohon rahmat ke atasnya sehingga ke petang, atau berkunjung kepadanya
di waktu petang, melainkan 70,000 malaikat berdoa ke atasnya sehingga ke pagi, dan
dia mendapat sebuah kebun buah-buahan dalam syurga. (HR Tirmizi)
39. Dari Zaid bin Thabit
r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara yang dengannya
hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan semua keburukan):
1. Beramal untuk redha Allah SWT, 2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3.
Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama
jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibnu Majah)
40. Dari ‘Amr bin ‘Auf
r.a menukilkan sabdaan Baginda SAW bahawa: Agama pada mulanya adalah satu
perkara yang asing (dagang), kelak tidak lama lagi ia akan kembali menjadi
asing seperti mula dahulu. Kerana itu berita gembira bagi orang-orang Islam
yang kerana agama mereka dianggap sebagai terasing, mereka itu ialah
orang-orang yang membetulkan jalanKu yang telah dirosakkan orang-orang
selepasKu. (HR Tirmizi)
41. Dari Samurah ibn
Jundab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara mereka (ahli
neraka) di makan oleh api hingga sampai ke buku lalinya dan di antara mereka
ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke lututnya. Dan di antara mereka ada
yang dimakan oleh api hingga sampai ke pinggang mereka dan sebahagian dari
mereka ada yang dimakan oleh api sampai ke tulang dadanya. (HR Muslim)
42. Dari Anas r.a
meriwayatkan, Aku mulai berkhidmat kepada Rasulullah SAW ketika umurku 8 tahun.
Selama 10 tahun berkhidmat dia tidak pernah menyalahkan aku apabila berlaku
kerugian (kesalahan) yang berlaku dengan sebab tanganku. Dan jikalau seseorang daripada
keluarganya menyalahkan aku, Baginda akan bersabda: Biarkan dia, kerana
sesungguhnya jikalau sesuatu telah ditakdirkan, pasti akan terjadi! (Masabi hus
Sunnah)
43. Dari Abu Malik
Al-Ashari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang mana tembus pandangan, dari dalam
boleh dilihat apa yang ada diluar dan dari luar dapat dilihat apa yang ada di
dalam. Allah menyediakannya khas untuk mereka yang memberi makan kepada fakir
miskin, menghamburkan salam, dan bersembahyang malam di mana manusia sedang
nyenyak tidur. (HR Tabrani)
44. Dari Abu Umamah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiga manusia adalah
merupakan tanggungan Allah SWT jika mereka hidup, mereka akan diberi rezeki dan
akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka lakukan. Dan jika mereka meninggal
dunia maka Allah SWT akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Pertama ialah
orang yang masuk kerumahnya lantas memberi salam, kedua orang yang pergi ke
masjid, ketiga orang yang keluar dijalan Allah SWT. (HR Ibn Hibban)
45. Dari Mahmud bin
Labidh r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dua benda yang mana tidak
disukai oleh manusia, pertama ialah maut sedangkan maut itu lebih baik daripada
fitnah. (kerana dengan kematian manusia akan terhindar dari fitnah yang boleh
merosakkan agama). Kedua ialah kurangnya harta, sedangkan dengan kurangnya
harta sedikitlah penghisabannya di hari akhirat kelak. (HR Musnad Ahmad, Majma
uz Zawaid)
46. Dari Anas bin Malik
r.a meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Bilakah akan
berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah? Baginda Rasulullah SAW menjawab: Apakah
persiapan engkau untuk hari itu? Dia menjawab: Aku tidak ada persiapan untuk
itu dengan banyak bersolat, dan puasa sunat atau pun bersedekah, akan tetapi
aku mencintai Allah dan RasulNya. Nabi SAW bersabda: Kamu akan berada bersama
dengan orang yang kamu cintai. (HR Bukhari)
47. Dari Abdullah bin
Umar r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
Bilamana kamu terlalu sibuk di dalam urusan jual beli, dan kamu memegang ekor
lembu dan leka bercucuk tanam dan kamu meninggalkan jihad, maka Allah SWT akan
menimpakan ke atas kamu kehinaan yang tidak akan terluput sehinggalh kamu
kembali kepada ugamamu (yang berjihad itu adalah sebahagian darinya). (HR Abu
Daud)
48. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jikalau seseorang menghilangkan
satu dari kesusahan seseorang di dunia ini, Allah akan menghilangkan satu
kesusahan darinya pada hari akhirat. Dan jikalau seseorang menyembunyikan satu
kesalahan seorang muslim, Allah SWT akan menyembunyikan kesalahan-kesalahannya
di akhirat, Allah SWT akan tetap membantu seorang selagi dia membantu
saudaranya. (HR Musnad Ahmad)
49. Dari Abu Hurairah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyertai jenazah
dan mengerjakan sembahyang jenazah akan mendapat pahala sama dengan satu qirat,
dan barangsiapa yang menyertai jenazah sehingga ke kubur akan mendapat pahala
sama dua qirat. Apabila ditanya, apa itu dua qirat. Rasulullah SAW menjawab:
(Sama dengan) dua gunung yang besar. Dalam riwayat lain, bahawa dua gunung,
yang paling kecil seperti gunung Uhud. (HR Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan