Memaparkan catatan dengan label Himpunan Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Himpunan Hadis. Papar semua catatan

Rabu, 13 Februari 2013

Himpunan Hadis (251-300)



1.    Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang hamba mengatakan satu perkara yang diredhai dan dia merasakan perkara itu tidak penting tapi kerananya Allah SWT akan meninggikan darjatnya, dan seorang hamba mengatakan satu perkara yang dimurkai Allah SWT dan dia tidak menghiraukannya, tapi kerana perkara itu dia akan tersungkur di dalam neraka Jahanam. (HR Bukhari)

2.    Dari ‘Ubadah bin Somit r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Berjihadlah di jalan Allah SWT kerana dia adalah merupakan satu pintu dari pintu-pintu syurga, dengannya Allah SWT menjauhkan rasa kerisauan dan kesedihan. Di dalam satu riwayat lain ada penambahan, pergilah berjihad, jauh atau dekat dan dirikanlah batasan-batasan pada orang-orang yang hampir dan pada orang-orang yang jauh. Dan berkenaan Allah SWT jangan terkesan dari cercaan sesiapa pun. (HR Mustadrak Hakim)

3.    Dari Sahl bin Sa’ad r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Agama ini adalah satu khazanah kenikmatan. Khazanah-khazanah nikmat ini mempunyai anak-anak kunci. Berbahagialah hamba itu yang Allah telah menjadikannya kunci kebaikan (dan) penutup kejahatan. Yakni Allah telah menjadikannya asbab hidayat. Dan kebinasaanlah buat hamba yang Allah Ta’ala telah menjadikannya kunci kejahatan (dan) penutup kebaikan. Yakni menjadi punca kesesatan. (HR Ibn Majah)

4.    Hadrat Durrah binti Abi Lahab r.a berkata bahawasanya Rasulullah SAW berada di atas mimbar lalu berdiri seorang lelaki dan bertanya: Ya Rasulullah! Siapakah orang yang terbaik dikalangan manusia? Baginda SAW bersabda: yang terbaik dikalangan manusia ialah orang yang paling banyak membaca Al-Quran, yang paling bertakwa, yang paling banyak menyuruh akan kebaikan dan melarang dari kemungkaran dan yang banyak menghubungkan silaturrahim. (Musnad Ahmad, Tabrani)

5.    Dari Abu Said r.a dan Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengumpat adalah lebih buruk dari zina. Para sahabat r.hum bertanya; Wahai Rasulullah, bagaimana mengumpat itu lebih buruk dari zina? Baginda SAW menjawab: Seorang yang berzina boleh memohon ampun, maka Allah SWT mengampunkannya, tetapi orang yang diumpat, apabila dia tidak memaafkan orang yang mengumpat, maka pengumpat tetap berdosa. (HR Baihaqi)

6.    Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada orang lain, maka kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezeki kemudian dia meminta kepada Allah maka Allah menyediakan kepadanya rezeki dengan segera, samaada dengan cepat atau dilambatkan sedikit. (HR Tirmizi)

7.    Dari Uqbah ibn Amir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan kemudian melakukan kebaikan ialah seperti seorang yang memakai baju besi yang sempit lalu tercekik. Kemudian dia melakukan kebaikan yang menyebabkan sambungan baju itu longgar, kebaikan yang dilakukan seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan akhirnya akan terlucut ke tanah. (HR Ahmad)            

8.    Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Api dunia kamu adalah sebahagian daripada satu pertujuh puluh daripada api neraka. Seorang bertanya: Ya Rasulullah SAW bukankah api dunia sudah cukup panas. Rasulullah SAW menjawab: (Api dunia kalau dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh sembilan kali lebih panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan panasnya api dunia. (HR Bukhari)  

9.    Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tempat meletak busar panah seorang dari kamu dan tempat pemijak kaki dari syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya dan jika salah seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga muncul ke bumi nescaya akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan akan dipenuhi keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. (HR Bukhari)

10. Dari Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan Israfil, semenjak hari penciptaannya terus berdiri dengan lurus di atas kedua belah kakinya tidak pernah mengangkat wajahnya. Di antara dia dan TuhanNya yang Maha Tinggi terdapat tujuh puluh hijab (dinding) dari Nur. Jika ia mendekati kepada hijab ini nescaya akan terbakar. (HR Masahibus Sunnah)

11. Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya telah Berjaya seseorang itu yang beriman dengan ikhlas, menjadikan hatinya suci (dari syirik dan kekufuran) ucapannya jujur dan benar, jiwanya tenang (orang yang banyak berzikir dan melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat ketenangan), baik budi pekertinya, menjadikan telinganya mendengar (nasihat) dan matanya melihat kepada kebenaran. (HR Musnad Ahmad)

12. Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api. (HR Bukhari)

13. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT akan turun kelangit bumi pada dua pertiga daripada malam dan bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang meminta sesuatu akan Ku beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon pengampunan nescaya akan Ku ampuni baginya. (HR Bukhari)

14. Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT mengampuni dosa-dosa seorang muazzin sejauh mana suaranya itu kedengaran. Dan setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa yang mendengar suara azannya memohon keampunan baginya, dan di dalam satu riwayat yang lain setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa menjawab seruan azan yang didengarinya. (HR Ahmad)    

15. Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Pada malam Isra’ aku telah lalu berhampiran satu golongan yang bibir-bibir mereka dipotong dengan sebilah gunting dari api neraka. Aku telah bertanya kepada Jibrail a.s siapakah mereka ini? Jibrail a.s menjawab: Mereka adalah juru nasihat yang selalu menyuruh orang lain berbuat baik dan melupakan diri sendiri, yakni dia sendiri tidak beramal. Padahal mereka membaca kitab Allah SWT. Tidakkah mereka faham. (HR Musnad Ahmad)

16. Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah ditanya: Siapakah di antara orang beriman yang paling sempurna imannya? Baginda SAW telah bersabda: Di antara orang beriman yang paling sempurna imannya ialah dia yang berjihad di jalan Allah SWT dengan diri dan hartanya. Kedua dia yang tinggal di satu lembah menyembah Allah SWT dan dia menyelamatkan orang ramai dari kejahatannya. (HR Abu Daud)

17. Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)

18. Dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW telah menukilkan satu firman Allah SWT di dalam sebuah hadis qudsi: Mana-mana hambaku yang semata-mata mendapat redhaKu mereka keluar sebagai mujahid, maka Aku memberi jaminan bahawa Aku akan memulangkannya ke rumah dengan pahala dan harta rampasan, dan jika Aku memanggilnya kembali, maka Aku akan mengampunkannya, merahmatinya dan akan memasukkanya ke dalam syurga. (HR Ahmad)

19. Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan satu jemaah untuk keluar ke jalan Allah SWT, mereka telah bertanya: ya Rasulullah! Malam ini kami pergi atau pun tinggal di sini dan pergi esok pagi? Baginda SAW telah bersabda: Adakah kamu tidak ingin untuk bermalam di salah satu kebun dari kebun-kebun syuirga? Yakni bermalam di jalan Allah SWT adalah seperti bermalam di kebun-kebun syurga. (Sunan Kubra)

20. Dari Jabir r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku dan kamu diumpamakan sebagai seorang yang telah menyalakan api, lalu rama-rama dan kelkatu jatuh ke atasnya dan dia menjauhkannya daripada api itu. Aku memegang pinggang-pinggang kamu dan menyelamatkan kamu dari api neraka, akan tetapi kamu terlepas dari tanganku. Yakni kamu terus berjatuhan ke dalam api neraka. (HR Muslim)

21. Dari Muaz bin Jabbal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Mana-man hamba yang membuat amalan kebajikan untuk kemasyhuran dan untuk menunjuk-nunjuk, maka Allah Ta’ala akan memasyhurkan perkara ini di hadapan semua makhluk di Hari Kiamat nanti, (bahawa orang ini mengerjakan amalan kebajikan untuk menunjuk yang kerananya dia mendapat kehinaan). (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)

22. Dari Abu Barzah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Aku khuatirkan terhadap kamu bahawa kamu terjerumus di dalam kehendak nafsu yang menyesatkan berkaitan dengan perut dan kemaluan kamu (seperti makan makanan haram, berzina dan lain-lain) dan dari terjerumus di dalam keinginan diri yang menyingkirkan kamu daripada jalan kebenaran) dan membawa kamu kepada kesesatan. (HR Musnad Ahmad, Bazzar, Tabrani, Majma uz Zawaid)

23. Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Di akhir zaman nanti akan wujud manusia yang pada luarannya adalah sahabat, akan tetapi pada dalamannya adalah musuh. Baginda telah ditanya orang. Ya Rasulullah! Mengapakah ini berlaku? Rasulullah SAW bersabda: Persahabatan secara luaran adalah kerana ada keperluan antara satu sama lain. Dan kerana ada permusuhan secara dalamanlah wujud rasa khuatir satu kepada yang lain. (HR Musnad Ahmad)

24. Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Akan dipersembahkan amal-amal manusia pada hari Isnin dan hari Khamis. Barangsiapa yang memohon pengampunan maka akan diampuniNya pada hari itu, dan barangsiapa bertaubat akan diterima taubatnya (tetapi) orang yang ada sifat membenci atau berdendam akan ditinggalkan sehinggalah dia bertaubat daripadanya. (HR Tabrani, Targhib) 

25. Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa bersumpah palsu dengan sumpah palsu dan mengambil hak seorang muslim yang lain Allah akan mewajibkan baginya memasuki neraka Jahannam dan haram ke atasnya syurga. Seorang lelaki berkata: Ya Rasulullah SAW walaupun di atas satu benda yang remeh? Nabi SAW bersabda: Ya walaupun sebesar satu ranting dari pohon arak. (HR Muslim) 

26. Dari ‘Iyaz bin ‘Imar r.a berkata, wahai Nabi Allah, seorang lelaki daripada kaumku telah mencaci dan memburuk-burukkanku sedangkan dia ialah seorang yang lebih rendah kedudukannya daripadaku. Bolehkah daku membalas balik akan caciannya itu? Nabi SAW bersabda: Apabila dua orang mencaci maki antara satu sama lain, adalah seumpama dua syaitan yang mana kedua-duanya mencaci maki dan berkata bohong antara satu sama lain. (HR Ibnu Hibban)

27. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahmi yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau pun diam. (HR Bukhari)

28. Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kerana (mendakwahkan) agama, aku telah ditakut-takutkan yang mana tidak ada seorang pun yang ditakut-takutkan seperti itu, dan aku telah disakiti hingga tiada siapa yang disakiti seperti ini. Telah berlalu tiga puluh malam dan tiga puluh siang berturut-turut dalam keadaan tidak ada makanan sedikit pun yang boleh dimakan oleh benda bernyawa kecuali kadar yang boleh disembunyikan oleh ketiak Bilal. Yakni kadar yang terlalu sedikit. (HR Tirmizi)

29. Dari Zaid bin Khalid Juhani r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang menunaikan haji atau orang yang keluar di jalan Allah SWT atau pun mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas pemergian mereka, atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar di jalan Allah yang pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. (HR Baihaqi) 

30. Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa) itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya menutupinya tetapi dipagi hari menampakkan apa yang Allah SWT tutup (pada malam itu). (HR Bukhari)

31. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Setiap hari Isnin dan hari Khamis, amal-amal manusia akan dipersembahkan dihadapan Allah SWT dan Allah SWT akan mengampuni mereka pada hari itu bagi orang yang tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, kecuali seorang yang memusuhi akan saudaranya (orang ini akan kecewa dari pengampunan Allah). (Malaikat) akan mengatakan kepadanya: Tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya bermaaf-maafan, tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya saling bermaaf-maafan. (HR Muslim)

32. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat r.hum berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda SAW bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda SAW menjawab: Jika apa yang dikatakan benar, maka itu adalah mengumpat (bahkan lebih buruk daripada memfitnah). (HR Muslim) 

33. Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Akan datang dari umatku pada hari Kiamat nanti dimana cahaya mereka seperti cahaya matahari. Kami bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah muhajirin yang miskin. Yang berada teguh dalam kerja-kerja yang sukar dibarisan hadapan. Apabila mereka mati keinginan mereka turut terpendam didalam dadanya. Mereka dihimpunkan dari segenap penjuru bumi ini. (HR Musnad Ahmad)

34. Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada yang dicintai oleh Allah lebih dari dua titisan dan dua kesan. Titisan ialah satu titisan air mata kerana takut kepada Allah. Kedua ialah titisan darah yang mengalir di jalan Allah. Dan dua kesan ialah kesan yang terjadi di jalan Allah (seperti parut-parut luka atau kesan cedera yang berlaku di jalan Allah) dan kedua ialah kesan dari melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardhu (seperti tanda-tanda sujud atau kesan perjalanan haji dan lain-lain). (HR Tirmizi)

35. Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah orang yang berkumpul untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dengan tiada keinginan lain daripada mencari keredhaanNya, kecuali bahawa (pada akhir majlis itu) seorang malaikat mengumumkan dari langit (dengan perintah Allah): Bangunlah orang-orang yang patut mendapat keampunan, kerana sesungguhnya dosa-dosamu telah diganti dengan kebaikan. (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Abu Ya’la, Bazzar dan Majma uz Zawaid)

36. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR Ibnu Majah)

37. Dari Muaz al-Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa membaca Al-Quran dan beramal dengannya, kedua ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Kiamat yang mana cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari. Kemudian kalaulah matahari itu berada di dalam rumah kamu, (cahayanya tentu lebih terang, namun cahaya mahkota itu lebih terang lagi. Kalau pahala ini hanya untuk kedua ibu bapanya) Maka kamu dapat bayangkan apakah yang akan diterima oleh orang yang membacanya sendiri. (HR Abu Daud)

38. Dari Buraidah Aslamiy r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa membaca Al-Quran, mempelajarinya dan mengamalkannya akan dipakaikan pada hari Kiamat dengan sebuah mahkota yang diperbuat daripada Nur. Cahayanya seperti cahaya matahari. Kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan dua helai pakaian yang tidak ada tandingannya di dunia ini. Dia akan bertanya kenapakah dia dipakaikan dengan pakaian yang seumpama ini? Akan dijawab: Ini kerana kamu mengajar anak kamu membaca Al-Quran. (HR Hakim)

39. Dari Anas r.a menceritakan bahawa seorang wanita selalu membersihkan sampah-sampah di masjid telah meninggal dunia. Baginda SAW telah diberitahu tentang kematiannya di waktu pengkebumiannya. Baginda r.a datang lalu bersabda: Apabila meninggal dunia salah seorang daripada kamu beritahulah aku. Lantas Nabi SAW menyembahyangi jenazahnya dan bersabda: Sesungguhnya aku melihat dia berada di dalam syurga kerana dia selalu membersihkan kotoran-kotoran di masjid. (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

40. Dari Uqbah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berwudhuk dengan sempurna kemudian menuju ke masjid dan duduk menunggu untuk bersembahyang maka malaikat yang mencatit kebaikan akan datang mencatit dimana setiap langkah dia berjalan diganjari dengan sepuluh kebaikan. Orang yang duduk menunggu sembahyang adalah seumpama orang yang beribadat. Semenjak dia keluar daripada rumahnya sehinggalah dia kembali adalah dikira sebagai orang yang sibuk bersembahyang. (Musnad Ahmad)  

41. Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan; Satu hari Nabi SAW bersabda tentang sembahyang bahawa: Barangsiapa menjaga sembahyang fardhunya tepat pada waktunya, pada hari Kiamat nanti akan menjadi Nur kepada orang yang mengerjakannya, menjadi penghujah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Sebaliknya tidak ada Nur, pembela dan penyelamat bagi orang yang tidak menjaga sembahyangnya dan pada hari Kiamat mereka akan digolongkan bersama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (HR Ahmad dan Tabrani)

42. Dari Huzaifah r.anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Islam itu terdiri dari lapan bahagian (yang penting). Islam (iman) satu bahgian, mendirikan solah satu bahagian, membayar zakat satu bahagian, menunaikan Haji satu bahagian, berpuasa satu bahagian, menyeru kepada kebaikan satu bahagian, mencegah daripada kemungkaran satu bahagian dan berjihad di jalan Allah Taa’la satu bahagian, sesungguhnya gagallah bagi mereka yang tidak ada satu bahagian pun daripadanya. (HR Al-Bazzar)

43. Dari Abi Musa Al-Asya’ri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Satu ketika berdiri di hadapan kami memberi lima rangkai kalimat. Maka sabdanya: Sesungguhnya Allah SWT tidak tidur. Dan tidak selayaknya bagi Allah SWT itu tidur. Mengurangi dan menambahkan rezeki. Mengangkat amalan malam sebelum amalan siang. Dan mengangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hijabnya daripada nur, jika ia dibuka nescaya sejauh mana makhluk yang dapat dilihat akan terbakar kerananya. (HR Muslim)

44. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Hendaklah kamu meminta perlindungan dari Jubbul-Hazan. Sahabah r.hum telah bertanya: Apakah Jubbul-Hazan itu? Nabi SAW telah bersabda: Ia adalah satu lembah di neraka yang neraka sendiri meminta perlindungan darinya sebanyak seratus kali setiap hari. Rasulullah SAW ditanya: Siapakah yang akan memasukinya? Nabi SAW telah bersabda: Pembaca-pembaca Al-Quran yang melakukan amalan mereka itu untuk menunjuk-nunjuk. (HR Tirmizi)         

45. Hazrat Abu Said bin Abu Fadhalah Al Ansari r.anhu yang merupakan salah seorang sahabat berkata, daku dengar Rasulullah SAW bersabda: Tatkala Allah Ta’ala menghimpunkan manusia pada hari Kiamat iaitu pada hari yang tiada keraguan mengenainya, berserulah satu penyeru: Barangsiapa yang menyengutukan di dalam amalannya sesuatu dengan Allah SWT, maka mintalah pahalanya daripada selain Allah SWT. Ini kerana Allah SWT Maha Kaya yang tidak memerlukan perkongsian sesiapa pun. (HR Tirmizi)

46. Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ditanya, siapakah yang paling mulia di antara manusia? Baginda SAW menjawab: Setiap orang yang hatinya Makhmum dan lidahnya jujur. Sahabat r,hum bertanya; Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang dimaksudkan dengan hati Makhmum? Baginda SAW menjawab: Makhmum ialah oyang Muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikit pun perasaan dengki atau irihati padanya. (HR Ibnu Majah)  

47. Dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. (HR Bukhari)

48. Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika matlamat seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya. (HR Ibnu Majah)

49. Diriwayatkan daripada Hadhrat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang menyeru kearah hidayah dan pekerjaan yang baik, dia akan mendapat pahala sama banyak dengan pahala orang-orang yang mengikutnya. Dan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang-orang yang mengikutinya. Begitu juga, sesiapa yang menyeru kejalan kesesatan, dia akan mendapat dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikuti kesesatan itu. Dan kerananya tidaklah berkurangan dosa orang-orang yang mengikutinya itu. (HR Muslim)

50. Dari Miqdad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia akan berpeluh mengikut kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut, sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang sampai ke mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke arah mulutnya (iaitu hingga sampai ke sini). (HR Muslim)

Himpunan Hadis (201-250)


1.    Dari Huzaifah bin Yaman r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seorang mukmin bertemu dengan seorang mukmin yang lain, hendaklah dia memberi salam kepadanya dan berjabat tangan (untuk bersalam), dosa-dosa mereka berguguran seperti daun-daun berguguran dari pohonnya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)

2.    Hazrat Iyyadh bin Khimar r.anhu dari kabilah bani Mujashik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT telah mewahyukan kepadaku supaya kamu semua berusaha mendapatkan sifat tawadhuk sehingga tidak akan wujud sifat bangga di antara satu sama lain dan tidak menzalimi orang lain. (HR Muslim)

3.    Dari Abu Said Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)

4.    Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa duduk dalam satu majlis yang tidak menyebut nama Allah dan tidak berselawat kepada Nabi SAW maka majlis itu akan menjadi sebab kerugian pada hari Kiamat. Maka sekiranya mahu, Allah mengazab mereka dan sekiranya mahu mengampunkan mereka. (HR Tirmizi)

5.    Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa tidur dalam keadaan berwudhu’, malaikat akan tidur disisinya sehingga tersentuh kulitnya. Dan apabila dia bangun malaikat akan berkata: Wahai Allah, ampunilah orang ini kerana dia tidur dalam keadaan berwudhu’. (HR Ibn Hibban)

6.    Dari Salman Al-Farsi r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong. (HR Tirmizi)

7.    Dari Umair Al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa dikalangan ummatku berselawat kepadaku dengan ikhlas sebanyak sepuluh kali, Allah SWT akan menurunkan rahmat untuknya sepuluh rahmat. Dan diangkat darjatnya sepuluh kali darjat, dan dituliskan untuknya sepuluh kebaikan dan diampunkan daripadanya sepuluh kejahatan. (HR Nasai)

8.    Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan seorang yang mempelajari ilmu agama kemudian tidak mengajarkan kepada orang lain adalah seperti seorang yang mengumpulkan harta yang banyak di dalam khazanahnya tetapi tidak membelanjakannya. (HR Tabrani)

9.    Dari Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu mempelajari ilmu agama untuk memperlihatkan kehebatan ke atas ulama dan mempelajari ilmu untuk berhujah dengan orang-orang yang bodoh, dan untuk menarik perhatian majlis. Barangsiapa berbuat demikian maka tempatnya ialah didalam api neraka, api neraka. (HR Ibn Majah)

10. Dari Ibn Abbas r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Empat perkara barangsiapa mendapatinya sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, badan yang sentiasa bersabar dalam menangung kesusahan, isteri yang sentiasa menjaga dari khianat pada dirinya dan pada harta suaminya. (HR Tabrani)

11. Dari Abdullah ibn Mas’ud r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah akan ditulis baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak berkata alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf yang berasingan. (HR Tirmizi)

12. Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memberi azan selama dua belas tahun, adalah wajib baginya syurga dan dituliskan baginya setiap kali azan ialah sebanyak enam puluh kebaikan, dan setiap kali iqamat akan dituliskan baginya tiga puluh kebaikan. (HR Al-Hakim)

13. Dari Salman r.a meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW bersabda: Barangsiapa berwudhuk dirumahnya dengan sebaik-baik wudhuk kemudian pergi ke masjid, dia adalah menjadi tetamu Allah. (Allah sebagai tuan rumah) dan adalah menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk memuliakan tetamunya. (HR Tabrani)

14. Dari Abdullah ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perkara pertama yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari Kiamat ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan diterima dan jika sembahyangnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak. (HR Tabrani, Targhib)

15. Dari Abdullah bin Amr Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perintahkanlah anak-anakmu bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan rotanilah dia jika tidak mahu bersembahyang ketika diumur sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara tempat tidur mereka (antara adik beradik lelaki dan perempuannya). (HR Abu Daud)

16. Dari Ibn Umar r.a berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak sempurna iman bagi orang-orang yang tidak amanah dan tidak ada sembahyang bagi orang-orang yang tidak ada wudhuk. Dan tidak ada agama bagi orang-orang yang tidak sembahyang. Sesungguhnya kedudukan sembahyang didalam agama, adalah seumpama kepala kepada badan. (HR Tabrani dan Targhib)

17. Dari Abdullah ibn Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Hanya ada dua jenis manusia yang (dibolehkan) untuk dicemburui. Seorang yang telah Allah berikan kepadanya Al-Quran dan dia telah membacanya di waktu siang dan malam, dan seorang lagi yang mana Allah SWT berikan harta kekayaan dan dia telah membelanjakannya (di jalan Allah) siang dan amalam. (HR Muslim)

18. Dari Asma binti Yazid r.ha berkata; Baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (di majlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah Taala akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka Jahanam. (HR Musnad Ahmad)

19. Dari Sahl bin Sa’ad r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Jika dunia ini mempunyai nilai sebesar kepak nyamuk sekalipun, maka Allah SWT tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air (oleh kerana dunia ini tidak bernilai walaupun sekadar ini, kerana itulah dunia ini diberi kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa tanpa batasan. (HR Muslim)

20. Dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Aku mendengar bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu juga, hendaklah dia cegah (membenci) dalam hatinya dan ini ialah selemah-lemah iman. (HR Muslim)

21. Dari Abu Bakar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Jadilah kamu seorang yang alim, atau orang yang belajar ilmu agama, atau orang yang gemar mendengar pengajian agama dengan teliti, atau menjadi orang yang mencintai ilmu dan ahli ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, yang mana kamu akan binasa. Kelima ialah kamu membenci ilmu dan ahli ilmu. (HR Tabrani)

22. Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang belajar ilmu untuk maksud lain selain dari redha Allah SWT (umpamanya untuk mencari kemuliaan, kemasyuran harta dan lain-lain) maka hendaklah dia menempah tempatnya di neraka Jahanam. (HR Tirmizi)

23. Dari Abu Hurairah r.a bahawa aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Perumpamaan orang yang keluar dijalan Allah SWT – dan Allahlah yang lebih mengetahui siapa yang berjihad dijalanNya – (untuk mendapatkan redhaNya) perumpamaannya adalah seperti dia yang berpuasa, beribadat pada waktu malam, tunduk dihadapan Allah SWT kerana takutkanNya, serta melakukan ruku’ dan sujud. (HR Nasa’i)

24. Dari ‘Ursi Ibni ’Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kerana kesalahan sebahagian manusia Allah tidak akan mengazab kesemua orang (yang tidak terlibat di dalam kesalahan itu). Akan tetapi Allah akan mengazab kesemua sekali, jika orang-orang yang taat walaupun mampu melarang mereka-mereka yang engkar. (HR Tabrani)

25. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sejahat-jahat manusia ialah seseorang yang merosakkan akhiratnya kerana dunia orang lain. Yakni demi untuk memberi manfaat dunia kepada orang lain, dia merosakkan akhiratnya dengan melakukan perkara yang memurkakan Allah SWT. (HR Baihaqi)

26. Dari Abdullah bin ‘Amr r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang memasyhurkan amalannya kepada manusia, maka Allah SWT akan menyampaikan kepada pendengaran makhlukNya akan amalan riya’ ini (dan bahawa orang ini adalah seorang yang riya’) dan Allah akan mengecilkannya pada pandangan makhluk dan menghinakannya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)

27. Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang tidak hadir adalah makbul. Seorang malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia berdoa untuk kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada orang yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)

28. Dari Muaz r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai. (HR Abu Daud)



29. Dari Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Allah membuka seluas-luasnya tangan RahmatNya di waktu malam bagi mereka yang melakukan dosa disiang hari dan membuka tangan RahmatNya di waktu siang bagi mereka yang melakukan dosa diwaktu malam supaya bertaubat kepada Allah. (Kerahiman ini) akan terus berlaku sehinggalah matahari terbit disebelah barat. (HR Muslim)

30. Dari Zaid bin Thabit r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT. 2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibn Majah)

31. Dari Muaz ibn Anas Al-Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali sehingga tamat akan dibinakan oleh Allah untuknya sebuah mahligai di dalam syurga. Umar Ibn Khattab r.a berkata: Ya Rasulullah! Kalau begitu saya akan membaca dengan lebih banyak lagi! Nabi SAW menjawab: Allah sebaik-sebaik pemberi ganjaran dan lebih banyak daripada itu. (HR Musnad Ahmad)

32. Dari Abu Tsabit, dalam suatu riwayat lain disebutkan Abu Said dan dalam riwayat lain pula disebutkan Abulwalid, iaitu Sahl bin Hanif r.a, dan dia pernah menyaksikan peperangan Badar, bahawasanya Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memohonkan kepada Allah SWT supaya dimatikan syahid dan permohonannya itu dengan secara yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tingkat orang-orang yang mati syahid, sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya. (Riwayat Muslim)

33. Dari Anas bin Abdul Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku diangkat (pada malam Mi’raj) ke langit, aku melintasi segolongan manusia yang tangannya berkuku tembaga dan mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku bertanya kepada Jibrail: Siapakah mereka ini? Dia menjawab: Mereka selalu memakan daging manusia dengan memfitnah dan mengumpat orang. (HR Abu Daud)

34. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya: Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau (yakni lazat dan nyaman) dan sesungguhnya Allah itu menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu, maka itu Dia akan melihat apa-apa yang engkau lakukan. Oleh yang demikian, maka takutilah harta dunia dan takutilah pula tipu daya kaum wanita. Sebab sesungguhnya pertama-tama fitnah yang terjadi di kalangan kaum Bani Israil adalah disebabkan kaum wanita. (Riwayat Muslim)

35. Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Senyuman kepada saudaramu (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma’ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. (HR Tirmizi)

36. Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Masjid ialah rumah bagi orang-orang yang bertakwa, Allah SWT telah mengambil tanggungjawab ke atas mereka yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan: Aku akan memberi kerehatan dan rahmat kepadanya, Aku akan mudahkan meniti titian Sirat untuknya, mendapat keredhaan Allah SWT dan Aku akan mengurniakan syurga kepadanya. (HR Tabrani)

37. Dari Sa’di r.a menceritakan bahawa satu ketika kami duduk bersama-sama Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: Adakah salah seorang daripada kamu sanggup melakukan kebaikan seribu kali setiap hari? Salah seorang daripada kami yang duduk di majlis itu bertanya: Bagaimana seseorang boleh memperolehi seribu kebaikan setiap hari? Nabi SAW bersabda: Bertasbih (Subhanallah) seratus kali akan dituliskan ganjaran untuknya seribu kebaikan. Dan seribu dosa akan dimaafkan. (HR Muslim)

38. Dari Ali r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang muslim mengunjungi seorang muslim yang sakit diwaktu pagi kecuali 70,000 malaikat berdoa memohon rahmat ke atasnya sehingga ke petang, atau berkunjung kepadanya di waktu petang, melainkan 70,000 malaikat berdoa ke atasnya sehingga ke pagi, dan dia mendapat sebuah kebun buah-buahan dalam syurga. (HR Tirmizi)

39. Dari Zaid bin Thabit r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: Tiga perkara yang dengannya hati orang beriman akan suci dari sifat khianat, dengki (dan semua keburukan): 1. Beramal untuk redha Allah SWT, 2. Inginkan kebaikan untuk para pemimpin, 3. Sentiasa bersama dengan jemaah orang Islam. Ini kerana orang yang bersama-sama jemaah akan dilingkungi oleh doa ahli-ahli jemaah itu. (HR Ibnu Majah)

40. Dari ‘Amr bin ‘Auf r.a menukilkan sabdaan Baginda SAW bahawa: Agama pada mulanya adalah satu perkara yang asing (dagang), kelak tidak lama lagi ia akan kembali menjadi asing seperti mula dahulu. Kerana itu berita gembira bagi orang-orang Islam yang kerana agama mereka dianggap sebagai terasing, mereka itu ialah orang-orang yang membetulkan jalanKu yang telah dirosakkan orang-orang selepasKu. (HR Tirmizi)

41. Dari Samurah ibn Jundab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara mereka (ahli neraka) di makan oleh api hingga sampai ke buku lalinya dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke lututnya. Dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke pinggang mereka dan sebahagian dari mereka ada yang dimakan oleh api sampai ke tulang dadanya. (HR Muslim)

42. Dari Anas r.a meriwayatkan, Aku mulai berkhidmat kepada Rasulullah SAW ketika umurku 8 tahun. Selama 10 tahun berkhidmat dia tidak pernah menyalahkan aku apabila berlaku kerugian (kesalahan) yang berlaku dengan sebab tanganku. Dan jikalau seseorang daripada keluarganya menyalahkan aku, Baginda akan bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya jikalau sesuatu telah ditakdirkan, pasti akan terjadi! (Masabi hus Sunnah)

43. Dari Abu Malik Al-Ashari r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah bilik yang mana tembus pandangan, dari dalam boleh dilihat apa yang ada diluar dan dari luar dapat dilihat apa yang ada di dalam. Allah menyediakannya khas untuk mereka yang memberi makan kepada fakir miskin, menghamburkan salam, dan bersembahyang malam di mana manusia sedang nyenyak tidur. (HR Tabrani)

44. Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiga manusia adalah merupakan tanggungan Allah SWT jika mereka hidup, mereka akan diberi rezeki dan akan dibantu dalam pekerjaan yang mereka lakukan. Dan jika mereka meninggal dunia maka Allah SWT akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Pertama ialah orang yang masuk kerumahnya lantas memberi salam, kedua orang yang pergi ke masjid, ketiga orang yang keluar dijalan Allah SWT. (HR Ibn Hibban)

45. Dari Mahmud bin Labidh r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dua benda yang mana tidak disukai oleh manusia, pertama ialah maut sedangkan maut itu lebih baik daripada fitnah. (kerana dengan kematian manusia akan terhindar dari fitnah yang boleh merosakkan agama). Kedua ialah kurangnya harta, sedangkan dengan kurangnya harta sedikitlah penghisabannya di hari akhirat kelak. (HR Musnad Ahmad, Majma uz Zawaid)

46. Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Bilakah akan berlaku hari Kiamat wahai Rasulullah? Baginda Rasulullah SAW menjawab: Apakah persiapan engkau untuk hari itu? Dia menjawab: Aku tidak ada persiapan untuk itu dengan banyak bersolat, dan puasa sunat atau pun bersedekah, akan tetapi aku mencintai Allah dan RasulNya. Nabi SAW bersabda: Kamu akan berada bersama dengan orang yang kamu cintai. (HR Bukhari)

47. Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Bilamana kamu terlalu sibuk di dalam urusan jual beli, dan kamu memegang ekor lembu dan leka bercucuk tanam dan kamu meninggalkan jihad, maka Allah SWT akan menimpakan ke atas kamu kehinaan yang tidak akan terluput sehinggalh kamu kembali kepada ugamamu (yang berjihad itu adalah sebahagian darinya). (HR Abu Daud)

48. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jikalau seseorang menghilangkan satu dari kesusahan seseorang di dunia ini, Allah akan menghilangkan satu kesusahan darinya pada hari akhirat. Dan jikalau seseorang menyembunyikan satu kesalahan seorang muslim, Allah SWT akan menyembunyikan kesalahan-kesalahannya di akhirat, Allah SWT akan tetap membantu seorang selagi dia membantu saudaranya. (HR Musnad Ahmad)

49. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyertai jenazah dan mengerjakan sembahyang jenazah akan mendapat pahala sama dengan satu qirat, dan barangsiapa yang menyertai jenazah sehingga ke kubur akan mendapat pahala sama dua qirat. Apabila ditanya, apa itu dua qirat. Rasulullah SAW menjawab: (Sama dengan) dua gunung yang besar. Dalam riwayat lain, bahawa dua gunung, yang paling kecil seperti gunung Uhud. (HR Muslim)

Dari Umar r.a berkata: Aku mendengar baginda rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa merendahkan diri kepada Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya. Mereka ini sentiasa melihat dirinya kecil tetapi pada pandangan orang lain dia adalah besar. Barangsiapa berlagak sombong Allah SWT akan menjatuhkannya dan hilang rasa hormat orang terhadapnya. Mereka ini merasa dirinya besar, tetapi orang lain mengira dia lebih buruk daripada anjing atau babi. (HR Baihaqi)